Cadangan pelaksanaan peraturan kawalan ekonomi oleh Malaysia Football League (MFL) sepertimana dipraktikkan di La Liga bermula musim depan, menerima reaksi positif dari pasukan-pasukan yang bertanding.

Ini termasuklah pasukan yang sedang dilanda masalah kewangan, Felda United yang melihat pendekatan diambil MFL bagi mengatasi bebanan hutang kebanyakan pasukan di Liga Malaysia, sebagai satu langkah tepat.

Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhamad berkata, mengambil contoh situasi di Felda United sendiri yang turut terkena tempias dari segi kewangan sebaik berlaku perubahan pengurusan, maka solusi diambil MFL ini membolehkan mereka lebih berhemah dalam urusan kewangan.

Zulkarnain berharap pihak MFL sedia mengambil langkah susulan dengan memberikan penerangan kepada semua rakan kongsi liga termasuk mengenai formula terbaik merealisasikan hasrat berkenaan.

“Langkah yang cukup bagus, itu yang saya boleh katakan apabila mengetahui perkara ini daripada MFL, kerana ia boleh memastikan semua kepimpinan pasukan ada perancangan jangka panjang yang jelas dan tetap.

“Felda United sendiri tiada masalah untuk mematuhi langkah yang ditetapkan kerana sesiapa sahaja Pengarah Besar Felda, mereka akan dilantik selaku Presiden Felda United secara automatik. Jadi dalam urusan aspek kewangan dan sebagainya, kami boleh mengawal perbelanjaan jika itu yang bakal ditetapkan MFL selepas ini.

“Kami sendiri ada terkesan dengan isu tunggakan gaji pada penghujung musim ini dan jika cara ini diguna pakai, saya yakin semua pasukan boleh bebas daripada masalah hutang yang terlalu tinggi,” katanya.

Zulkarnain dalam pada masa sama mahu MFL memastikan langkah ini boleh disesuaikan dengan iklim bola sepak Malaysia terutama persatuan-persatuan bola sepak negeri yang bergantung kepada kepimpinan setempat dalam pemberian dana.

“Cabaran yang perlu dilalui MFL ialah dalam situasi bola sepak bukan industri menjana pendapatan sepenuhnya, bagaimana modul paling sesuai memastikan semua pasukan mampu menyimpan sebahagian dana yang mereka ada.

“Ditambah faktor pemilihan persatuan jika berlaku tiga atau empat tahun sekali, isu mengenai dana ini dilihat sensitif. Namun saya yakin MFL sudah melihat perkara ini dengan teliti dan ada cara tersendiri dalam melaksanakannya dengan suasana di Liga Malaysia,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi oleh Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad yang menyatakan ia langkah terbaik untuk membendung ketirisan dalam soal pengurusan kewangan.

“Ia satu permulaan yang baik untuk tidak ada lagi tunggakan hutang atau ketirisan dari segi penajaan atau sebagainya. Sebab impak buruk akhirnya akan dirasai oleh pemain. Pemain ini adalah pemain profesional dan ini adalah rezeki mereka dengan bermain bola.

“Jadi apabila disebabkan oleh hutang-hutang dan ketirisan ini mereka yang akan merana. Bila ada kawalan yang ketat berkaitan kewangan setiap pasukan, ia secara langsung akan menambah baik dan tidak akan ada lagi masalah berkaitan hutang dan sebagainya,” kata Abdul Rauf.

Sebagai rekod, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Wira Yusoff Mahadi, pada Jumaat mengumumkan bahawa badan pentadbir Liga Malaysia itu mahu melaksanakan cara LaLiga dalam aspek sistem kawalan ekonomi.

Langkah ini menurutnya mampu mengawal pasukan menyelesaikan kemelut gaji kerana semua pasukan tidak boleh membelanjakan kesemua dana yang mereka ada setiap musim.

Di LaLiga, sejak dilaksanakan mulai 2012, mereka berjaya lupuskan hutang pasukan bertanding daripada €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 kepada sifar pada tahun 2017.

Pasukan yang masih berhutang selepas peraturan ini dikuatkuasakan bakal dikenakan tindakan tegas termasuk disingkirkan ke divisyen lebih bawah seperti mana terjadi kepada Elche FC dan Real Murcia pada musim 2014/2015. MUHD AIMAN 

- Advertisement -