Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 28 pemain untuk menjalani kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tiga perlawanan tersebut akan diadakan secara berpusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dimana Malaysia dijadual bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun 2021.

Daripada senarai yang diumumkan menerusi laman sosial facebook FAM, dua muka baharu dipanggil untuk diberi peluang untuk berada dalam kem ini.

Pemain muda Johor Darul Takzim yang sedang meningkat naik, Ramadhan Saifullah Usman dan pemain yang diberi taraf naturalisasi, Guilherme de Paula yang beraksi untuk pasukan Perak FC serta Rahadiazli Rahalim dari pasukan Terengganu FC merupakan tiga pemain bahru yang dipanggil Tan Cheng Hoe.

Malah, pemain yang sedang berkelana di Belgium bersama kelab KV Kortrijk, Luqman Hakim turut dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat yang akan dijalankan di Johor Bahru bermula dari 22 Mac 2021 hingga 30 Mac 2021.

Cheng Hoe turut menjelaskan pendiriannya untuk tidak memanggil Liridon Krasniqi yang beraksi untuk pasukan Newcastle Jets (Australia) dan Junior Estedal yang menyarung jersi kelab Thailand, Chonburi FC.

“Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka menyertai kem latihan pusat kali ini.

“Lagipun kedua-dua pemain ini saya lihat sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka ini.

“Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand.

“Bagi Luqman Hakim pula, memang dari tahun lepas kita rancang nak panggil dia sertai kem latihan pusat ini. Jadi ini peluang terbaik untuk kita melihat tahap fizikal, keyakinan dan corak permainannya selepas lebih enam bulan bersama KV Kortrijk di Belgium,” kata Cheng Hoe.

Daripada senarai tersebut, Cheng Hoe masih mengekalkan seramai 17 pemain dari skuad 23 pemain Harimau Malaya bagi dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 November 2019.

Enam pemain; penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syazwan Andik Ishak, Baddrol Bakhtiar, Azzizan Nordin serta Safawi Rasid tidak dipanggil susulan kecederaan.

Dalam pada itu, enam pemain; penjaga gol, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC) diletakkan dalam senarai menunggu.

Enam pemain ini akan dipanggil jika terdapat mana-mana daripada 28 pemain yang berada dalam senarai dipanggil kali ini disahkan mengalami kecederaan oleh doktor pasukan.

Cheng Hoe turut menyatakan bahawa kemudahan lengkap yang dimilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor utama kem latihan pusat kali ini diadakan di Johor Bahru.

“Kem latihan pusat di Johor Bahru kali ini pastinya akan dapat membantu kami untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik bagi menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan memandangkan JDT memiliki kemudahan pusat latihan bertaraf dunia yang mana ia adalah yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.

“Pusat latihan mereka merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting. Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

“Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah mengganggu persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan yang serba lengkap ini,” ujar Cheng Hoe.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut menjelaskan bahawa tempoh sembilan hari bagi kem latihan pusat kali ini penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang.

“Ini masa terbaik untuk kami fokus terhadap persiapan pasukan kerana apabila kami berkumpul pada Mei nanti, kita dah tak ada banyak masa untuk latihan kerana perlu fokus dengan persiapan tiga perlawanan terakhir kelayakan.

“Jadi kesempatan selama sembilan hari yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu kepada para pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti dan apabila mereka datang ke kem latihan pusat pada Mei, semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE, Vietnam dan Thailand itu,” jelas Cheng Hoe.

- Advertisement -