Vivian Hoo-Woon Khe Wei.9

Oleh Ku Mohd Lufti

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei diumum pemenang Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) buat kali kelima malam.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Makan Malam Gala di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) susulan kerja kerasnya sepanjang musim 2016.

Chong Wei menewaskan beberapa calon termasuk dua pemain bergu lelaki negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, juara Olimpik Rio, Chen Long serta beregu, Fu Haifeng-Zhang Nan dan Jan O Jorgensen dari Denmark.

Untuk rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang ini pernah memenangi anugerah sama pada 2009, 2010, 2011 dan 2013.

Pencapaian terbaik Datuk Lee Chong Wei sepanjang 2016 adalah memenangi kejuaraan Siri Super Terbuka Malaysia, Indonesia dan Jepun.

Malah pemain berusia 34 tahun ini merangkuk pingat perak Olimpik yang ketiga, dan beliau akan memburu gelaran Siri Super Dunia kelimanya di Dubai minggu ini.

Laluan Datuk Lee Chong Wei tampak sedikit selesa apabila diundi dalam Kumpulan B bersama pemain Korea Selatan, Son Wan-ho, Angus Ng Ka Long (Hong Kong) dan Viktor Axelsen (Denmark).

Kejohanan Siri Super Dunia dijadualkan bermula pada Rabu hingga 18 Disember di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai.

Sementara itu, pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei dipilih menerima Anugerah Pakaian Terbaik Wanita pada majlis makan malam tersebut manakala Axelsen pula memenangi kategori lelaki.

Bekas juara wanita remaja dunia, Goh Jin Wei yang dicalonkan dalam Anugerah Eddy Choong untuk Pemain Paling Berbakat, gagal menandingi pemain China, Chen Qingchen yang dipilih sebagai pemenang.

Pasangan beregu wanita Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Wanita Terbaik manakala Pusarla V Sindhu dari India menerima Anugerah Pemain Paling Meningkat.

Bagi kategori badminton para, Lucas Mazur dari Perancis dan Karin Suter-Erath dari Switzerland dinamakan Pemain Para Terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.

- Advertisement -