Md Danish Aiman Zamrul dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing telah menampilkan kemahirannya di Litar Permotoran Terengganu baru-baru ini apabila beliau berjaya di tangga pertama bagi kategori Wira KBS.

Danish yang tidak kurang hebat berbanding dengan rakan-rakan sepasukannya telah menunjukkan semangat yang luar biasa di litar kampung halamannya. Beliau bukan sahaja konsisten sepanjang latihan bebas, malah juga telah mencatatkan masa terpantas bagi sesi kelayakan.

Pelumba berusia 16 tahun ini hanya mendapat tempat kelapan secara keseluruhan pada musim lepas tetapi pada musim ini, beliau telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dalam prestasinya. Pada pusingan pertama hingga keempat, Danish telah mempertahankan kedudukannya di tangga tiga teratas.

Menurut Danish, “Kejayaan pusingan keempat adalah rezeki saya di kampung halaman saya. Saya hanya memberikan tumpuan sepenuh dan mengekalkan momentum saya di setiap lap. Saya juga telah biasa buat latihan di litar Terengganu dan mungkin ia adalah suatu kelebihan bagi saya.”

“Bagi pusingan Jempol, saya akan buat yang terbaik untuk mengekalkan kedudukan di podium.”

Menurut Sivanesan, pemilik and pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, “Litar Terengganu merupakan suatu cabaran lebih-lebih lagi dengan keadaan litar basah. Syamil yang telah mengukuhkan kedudukannya di tempat pertama untuk tiga pusingan bukan sahaja jatuh semasa latihan bebas malah juga telah menghadapi masalah suspensi depan yang hanya mampu diselesaikan selepas sesi kelayakkan.”

“Bagi litar Jempol, pelumba nombor 33 iaitu Adam Haikal sahaja yang pernah berlumba di situ pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, saya telah memberikan taklimat mengenai litar tersebut kepada pelumba-pelumba yang lain.”

“Selepas berakhirnya pusingan keempat dengan podium 1,2,3, saya mendapati pelumba-pelumba saya cukup matang dengan kemahiran berlumba masing-masing. Saya amat gembira dengan perkembangan prestasi mereka untuk terus mengekalkan podium di setiap pusingan. Bagi pusingan kelima, 31 Racing akan terus mempertahankan kedudukan di podium sekali lagi dan “unlock” litar Jempol.”

- Advertisement -