Persatuan Olahraga Selangor (SAA) menyingkirkan Datuk SM Muthu sebagai Presiden organisasi itu serta menarik balik keahlian seumur hidup gara gara dakwaan penyelewengan akaun simpanan tetap SAA yang dianggarkan lebih RM 100 000.

Laporan media tempatan mengesahkan, keputusan itu dibuat ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dihadiri 39 ahli.

Pengerusi bebas EGM yang dilantik, Mohamad Zufarsyah Mohd Idrakisyah mendakwa penyelewengan melibatkan dana berjumlah RM 110 000 daripada akaun tetap SAA yang merupakan dana bagi pembangunan yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara Selangor.

Menyingkirkan Datuk SM Muthu dan menarik balik keahlian seumur hidup antara tiga usul yang dikemukakan ketika EGM.

Ia termasuk menyingkirkan dua lagi individu, Mohd Fauzi Manivannan Abdullah yang merupakan bekas bendahari dan Abdul Rahim Mohd Noor (bekas setiausaha) SAA.

Dokumen yang menjadi bukti berlakunya penyelewengan dana tersebut turut dikemukakan dan SAA akan membuat laporan polis serta membawa isu ini ke perhatian Pesuruhjaya Sukan.

- Advertisement -