Stephen Van Huizen
Stephen Van Huizen

Oleh Muhammad Aiman

Seperti dijangka, penyerang Terengganu Faizal Shaari menjadi pilihan untuk disenaraikan dalam skuad 18 pemain yang akan membawa cabaran negara di Trofi Juara-Juara Asia QNET di Kuantan yang akan membuka tirainya pada Khamis.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata Faizal telah memanfaatkan sebaiknya peluang yang diberi untuk meyakinkan pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan mengenai kredibiliti serta perubahan atitudnya.

“Dia bermain dengan baik di Liga Hoki Malaysia dan lebih baik lagi ketika bersama skuad pembangunan negara di Liga Kebangsaan Australia (AHL) di mana dia menjaringkan lima gol. Saya percaya dia boleh menjadi pemain tonggak dan memberi kelebihan buat kita, malah dia juga pakar dalam menjaringkan gol sudut penalti,” kata Stephen.

Ini adalah kali pertama Faizal kembali bersama skuad senior kebangsaan setelah digantung enam bulan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada November tahun lalu gara-gara gagal melaporkan diri ke kem latihan skuad kebangsaan yang menyebabkannya kehilangan tempat di dalam pasukan.

Tiada banyak perubahan dalam senarai diumumkan Stephen pada Selasa, dengan seorang lagi pemain penyerang Rashid Baharom pula berjaya merebut tempat di dalam pasukan setelah melepasi ujian kecergasan saat akhir.

Kedudukan Rashid sebelum ini diragui setelah mengalami kecederaan ibu jari ketika beraksi di AHL awal bulan ini, namun Stephen menjelaskan pemain itu sudah bersedia kembali memperkuatkan pasukan setelah beraksi baik dalam aksi persahabatan menentang India, Isnin lalu. 

Hanya Baljit Singh dan Mohamed Izad Hakimi Jamaludin yang terpaksa disisihkan setelah gagal pulih dari kecederaan.

Saingan Trofi Juara-Juara Asia adalah sebahagian daripada persiapan skuad negara untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 pada tahun depan. Kejohanan selama 11 hari itu turut disertai India, Jepun, Pakistan, China dan Korea Selatan. 

Malaysia akan membuka tirai saingan dengan menentang juara bertahan Pakistan pada Khamis (20 Oktober), sebelum berdepan China (21 Oktober), Jepun (23 Oktober), India (26 Oktober) dan Korea Selatan (27 Oktober) dengan empat pasukan teratas kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Stephen mensasarkan pasukannya akan mara setidak-tidaknya ke peringkat separuh akhir, “Kita akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dan dari situ kita akan mengorak langkah untuk mencapai sasaran (separuh akhir). Apa yang penting ialah saya mahu melihat kerjasam sepasukan lebih baik dan peningkatan dari segi prestasi pemain.”

Untuk rekod, Pakistan menjuarai edisi lalu dengan menewaskan Jepun dalam aksi final manakala pencapaian terbaik Malaysia adalah muncul pemenang tempat ketiga sebanyak tiga kali berturut-turut pada 2011, 2012 dan 2013.

 

Senarai 18 pemain skuad kebangsaan :

Penjaga gol : S.Kumar, Hafizuddin Othman

Pertahanan : Razie Rahim, Shukri Mutalib, Najmi Farizal Jazlan, Najib Hassan, Faiz Helmi Jali

Tengah : Joel Van Huizen, Nabil Fiqri Md Nor, Fitri Saari, Meor Mohamad Azuan Hassan, Mohamed Azri Hassan

Penyerang : Rashid Baharom, Firhan Azhari, Mohamed Shahril Saabah, Faizal Saari, Nik Aiman Nik Rozemi, Haziq Samsul

- Advertisement -