MESYUARAT PENGADIL

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menggantung khidmat pengadil perlawanan suku akhir Piala Malaysia di antara T-Team dan Felda United pada Ahad lalu, Khirul Azuan Kidam selama tiga bulan manakala salah seorang pembantunya pada perlawanan itu Yusri Mohd pula digantung dua minggu.

Tindakan itu diambil setelah mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM dipengerusikan oleh Dato’ S.Sivasundram membuat analisis video terhadap laporan bantahan dikemuka T-Team pada Khamis dan mendapati Khirul Azuan berada di posisi yang tidak betul dalam dua situasi sehingga membawa kepada beberapa keputusan kurang tepat pada perlawanan itu.  

“Setelah membuat penilaian terperinci, kami mendapati dua daripada tiga situasi (yang dibantah T-Team) iaitu pada minit ke-45 dan 52, keputusan pengadil didapati kurang memuaskan. Bagaimanapun, keputusan pengadil pada minit ke-72 adalah tepat.

“Ingin kami tegaskan ini adalah disebabkan posisi pengadil yang tidak betul. Ia tiada sebarang kaitan dengan unsur bertentangan dengan integriti,” kata Sivasundram pada sidang media di Hotel Puteri Garden, Klang.

Isu membabitkan Khirul Azuan timbul setelah pengurusan T-Team menghantar laporan bantahan rasmi terhadap mutu pengadilan, di mana Khirul dikatakan telah membuat lapan kesalahan yang secara terang-terangan menimbulkan pertikaian ketika T-Team seri 1-1 menentang Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

Antara isi kandungan laporan tersebut adalah mengenai pembatalan jaringan Dilshod Sharafetdinov pada minit ke-70, jaringan Felda menerusi Forkey Doe yang disahkan walaupun pemain itu dengan jelas menampan bola menggunakan tangan pada minit ke-52 serta penjaga gol The Fighters Farizal Harun tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun menahan bola di luar kotak penalti pada penghujung separuh masa pertama.

Untuk rekod, pada Disember tahun lalu FAM juga pernah menggantung empat pegawai perlawanan yang mengadili suku akhir kedua Piala Malaysia 2015 antara PKNS Selangor dan Kedah tahun iaitu Samsudin Ibrahim, Busrah Eri, Khairul Rizal Ismail dan Ismail Noor kerana kesilapan di dalam melaksanakan undang-undang permainan.   

- Advertisement -