Skuad Irfan Bakti ketinggalan dua mata di belakang JDT.
Skuad Irfan Bakti ketinggalan dua mata di belakang JDT.

felda.logoLiga Super masih berbaki lapan perlawanan untuk diharungi, tetapi ianya sudahpun menjadi pertarungan dua penjuru untuk memburu kejuaraan tatkala hanya Felda United yang berupaya melakar kemenangan untuk mengekori rapat kedudukan pendahulu Johor Darul Takzim. Felda mencatat kemenangan 2-1 ke atas PDRM di Stadium Hang Jebat menerusi tandukan Lutfulla Turaev pada minit ke-35 dan Francis Forkey Doe yang menyempurnakan hantaran Syamim Yahya pada minitke-60 manakala PDRM mendapat jaringan tunggal menerusi Soulymane Konate pada minit ke-75.

Dengan 34 mata, skuad Irfan Bakti ketinggalan dua mata di belakang JDT dan secara kasarnya dilihat satu-satunya pasukan yang berpeluang menyekat dominasi JDT dari merangkul gelaran liga buat tahun ketiga berturut-turut. Selangor yang berada di tangga ketiga, sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada gelaran liga apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

Tuan rumah mendahului menerusi Jeong Seok Min pada minit ke-26, namun Patrick Ronaldinho memastikan Red Giants pulang dengan satu mata apabila meledak jaringan pada minit ke-33, sekaligus menyaksikan mereka kini ketinggalan 10 mata di belakang JDT.

Sementara itu, Kedah melonjak ke tangga keempat setelah bekerja keras menundukkan T-Team 1-0 di Stadium Darul Aman, pada perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat dan padang licin.

Kedah yang tunduk 0-5 kepada JDT minggu lalu beroleh gol tunggal menerusi Shane Smeltz pada minit ke-51.
Kelantan pula sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Pahang di Kota Bharu, manakala Perak menambah derita Terengganu dengan melakar kemenangan 2-0 di Ipoh.

Gol buat Perak dijaringan D.Kenny Palraj dan Elias Fernandes dan tiga mata yang diraih menyaksikan mereka melonjak ke tangga kelapan dengan 14 mata.

- Advertisement -