Jurulatih Felda United, B.Sathianathan tidak mahu aib yang menimpa pasukannya ketika menentang Melaka United pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia pada Sabtu lalu berulang apabila pasukannya menentang Terengganu FC di suku akhir.

Sathianathan jelas berang melihat aksi longlai anak buahnya tatkala mereka diperbudakkan Melaka yang sudahpun tersingkir dengan keputusan 1-6 dan menyifatkan ia adalah salah satu kekalahan terburuk pernah dialami dalam kariernya.

Jelas sekali Felda United tidak dapat menonjolkan prestasi sebenar mereka apabila tiadanya pemain-pemain utama namun Sathianathan berpendapat pemainnya sudah belajar dari kesilapan.

“Saya sudah bercakap dengan pemain dan mereka kembali fokus, mereka perlu kembali menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi kerana itu adalah kekuatan kita. Ia bukan satu alasan untuk kita tidak melawan jika tiada pemain utama.

“Saya mahu setiap pemain menunjukkan kesungguhan, semangat melawan dan komitmen. Jika tiada semua itu, usah pakai jersi Felda United. Kita adalah Felda dan Felda adalah fighters (pejuang), takkan kita nak biarkan lawan datang dan jadikan kita ‘lauk’ mereka?” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.

Felda akan terlebih dahulu menjadi tuan rumah kepada Terengganu di Jengka pada Jumaat dan aksi timbal balik akan berlangsung pada 28 September depan.

Sebagai rekod, ketika tewas kepada Melaka, skuad juara Liga Premier itu tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti penjaga gol Farizal Harun, Thiago Junior, Thiago Augusto, Norfazly Alias, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hadin Azman sama ada kerana masalah kecederaan, kecergasan dan juga urusan peribadi.

Sementara itu, Farizal yang dijangka kembali ke dalam kesebelasan utama mengakui pentingnya peranan dua Thiago itu dan mengharapkan mereka akan dapat bersama semula dengan pasukan.

“Junior baru-baru ini pulang ke Brazil untuk selesaikan masalah keluarga manakala Augusto pula mengalami kecederaan. Sebagai penjaga gol, keyakinan saya lebih tinggi jika Junior kembali berganding dengan Shukor (Adan) untuk mengawal benteng. Ini kerana pengalamannya sangat berguna untuk membaca serta menghadapi serangan lawan.

“Kita tahu akan kehebatan trio barisan depan Lee Tuck, Kipre (Tchetche) dan Ashaari (Samsudin), mereka sangat berbahaya yang memerlukan pemain seperti Thiago untuk menyekat langkahan mereka. Memandangkan jaringan di tempat lawan boleh memberi kelebihan, saya harap Terengganu tidak diberi ruang untuk menjaringkan gol di Jengka ,” kata Farizal.

Tambahnya, “Selain mengelak daripada dibolosi, kami juga perlu menjaringkan gol untuk dijadikan bekalan. Oleh itu, kami memang mengharapkan Thiago (Augusto) sempat pulih untuk bergandingan dengan Gilberto Fortunato.”

Rekod terbaik Felda United dalam saingan Piala Malaysia adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada 2014, 2015 dan 2017. Pada 2014 mereka tewas kepada Johor Darul Takzim manakala 2015 dan 2017 tewas kepada Kedah. MUHD AIMAN 

- Advertisement -