Felda United akan melayan kunjungan Kedah dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad dengan hanya satu sasaran – mencari bekalan selesa bagi menghadapi aksi timbal balik.

Pengendali The Fighters, B.Sathianathan berkata kelebihan bermain di gelanggang sendiri di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka perlu dimanfaatkan pemainnya dan menuntut pemainnya tampil dengan dedikasi penuh agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan di peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, ketika aksi suku akhir, Felda hampir disingkirkan kelab Liga Premier, PKNP FC setelah tewas aksi pertama dengan jaringan 1-3 namun menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk mencatat kemenangan 4-1 dalam aksi kedua dan mara dengan agregat 5-4.   

“Kita tidak boleh ulang kesilapan tersebut. Kedah dan PKNP adalah dua pasukan berbeza kekuatan, jika pemain rasa magik yang sama boleh dilakukan jika tewas perlawanan pertama dan kemudian cuba bangkit di Alor Star, ia silap besar.

“Tidak perlu cari jalan susah, terapkan mentaliti main hanya untuk menang. Kita ada sokongan penonton sendiri, jadi gunakan setiap peluang, tunjukkan kualiti sebenar.

“Saya tidak nafikan kekuatan Kedah, tetapi percayalah jika pemain berikan segala yang terbaik siapapun lawan kita, kita boleh tewaskan,” kata Sathianathan. 

Felda ketika ini sedang berada dalam prestasi terbaik mereka setelah menang tiga perlawanan terakhir termasuklah menewaskan juara Liga Super, Johor Darul Takzim 3-2 di Shah Alam pada 28 September lalu.

Malah mereka juga menewaskan Kedah 3-1 ketika pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Alor Star 20 September lalu namun Sathianathan yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan pada 2010 menganggap pertemuan lalu bukan satu ukuran.

“Kita perlu sentiasa tengok depan, bukan mengenang kemenangan lalu. Ketika itu Kedah tidak menurunkan skuad terkuat mereka, dan ini adalah cabaran berbeza kerana di separuh akhir semua pasukan akan tampil kompetitif.

“Tambahan pula, kita bermain selepas berehat panjang lebih dua minggu. Saya perlu mencari jalan mengekalkan prestasi dan momentum mereka. Saya berharap tempo permainan mereka adalah sama sepertimana ditunjukkan ketika aksi terakhir menundukkan JDT,” ujar bekas jurulatih kebangsaan itu.

Pertemuan Felda dan Kedah juga adalah ulangan aksi separuh akhir Piala Malaysia 2015. Ketika itu, Felda bimbingan Irfan Bakti gagal meneruskan kemaraan ke final setelah kecundang 3-4 secara agregat kepada skuad Lang Merah itu. OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -