Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) hari ini mengumumkan jadual pertandingan bagi musim baru Liga Malaysia yang menyaksikan saingan Piala Malaysia akan kembali dilangsungkan selepas berakhir kesemua pertandingan lain.

Selama dua musim kebelakangan iaitu pada 2016 dan 2017, Piala Malaysia dipertandingkan serentak ketika Liga Super dan 100PLUS Liga Premier sedang berlangsung.

Ia menyaksikan 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier selepas berakhir pusingan pertama layak beraksi di pertandingan tertua tanah air itu justeru perubahan susunan pertandingan bermakna kedudukan terakhir akan kembali menjadi perkiraan untuk menentukan pasukan yang layak bertanding musim 2018.

Saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018 dijadualkan bermula 3 Ogos manakala aksi final pada 3 November sementara aksi Liga Super pula akan dibuka secara rasminya pada 3 Februari menerusi aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah dan berakhir 5 Mei (pusingan pertama) dan 12 Mei – 28 Julai (pusingan kedua).

Liga Premier akan bermula pada 3 Februari – 4 Mei (pusingan pertama) manakala pusingan kedua dari 11 Mei – 27 Julai. Saingan Piala FA pula akan bermula 13 Februari dan berakhir pada 7 Julai.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN      

- Advertisement -