Bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya berpandangan saingan TM Piala Malaysia pada musim ini lebih sukar untuk diramal dan mencabar terutama kepada pasukan pilihan.

Menurutnya, format kalah mati selain tiada aksi timbal balik menjanjikan tiada ruang buat mana-mana pasukan melakukan kesilapan atau peluang kedua sekiranya mereka tewas dalam sesuatu perlawanan.

Selain itu, setiap ketua jurulatih dituntut untuk menggunakan semua pemain terbaik yang dimiliki tanpa memikirkan soal risiko penggantungan atau kecederaan bagi memastikan pasukan mampu mara sejauh mungkin.

“Usaha yang bagus daripada Malaysian Football League (MFL) di bawah norma baharu bagi meneruskan saingan TM Piala Malaysia pada musim ini.

“Format ini mungkin menggusarkan pasukan dan pemain kerana sudah biasa melalui saingan peringkat kumpulan di mana mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah tetapi tidak pada saingan kali ini.

“Jadi, situasi pada saingan TM Piala Malaysia kali ini nyata berbeza kerana pemain dituntut berikan lebih 100 peratus kerana hanya kemenangan dalam tiap perlawanan sahaja mampu membawa mereka ke peringkat seterusnya, ” katanya.

Format TM Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 CIMB Liga Super, 5 Liga Premier ) sehingga ke perlawanan akhir tanpa aksi timbal balik.

Situasi ini berikutan penularan COVID-19 yang memaksa Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan selama lima bulan selain bagi memastikan saingan musim ini mampu dihabiskan sebelum menuju 2021.

Dalam pada itu, Rezal memilih Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Selangor sebagai empat pasukan pilihan bagi merebut kejuaraan TM Piala Malaysia manakala Pulau Pinang antara pasukan ‘underdog’ yang boleh melakar kejutan.

“Tidak mustahil dalam saingan seperti ini kita akan menyaksikan kejutan kerana sejarah telah membuktikan pasukan-pasukan yang tidak beri keutamaan secara tiba-tiba mampu menonjol.

“Bagaimanapun melihatkan prestasi mutakhir ini, saya masih cenderung nampak JDT, Kedah, TFC dan Selangor antara pasukan yang akan muncul juara biarpun format sebegini agak terbuka kepada sesiapa.

“Selangor dalam dua perlawanan terakhir ini menampakkan kebangkitan yang hebat apabila meraih kemenangan yang selesa dan saya nampak mereka teruskan momentum itu di TM Piala Malaysia.

“ Pulau Pinang pula berbekalkan selaku juara Liga Premier saya nampak tidak boleh ambil mudah kerana dibarisi import yang ada pada mereka dan melalui kepakaran pada Manzoor, saya nampak TM Piala Malaysia ini boleh menjadi batu loncatan kepada Pulau Pinang untuk terus raih perhatian peminat, ” katanya.

- Advertisement -