Skuad futsal Malaysia membuka tirai Kejuaraan Futsal AFF di Yogyakarta, Indonesia dengan membaham Kemboja 10-0 pada Isnin, tetapi perlu diakui Kemboja bukanlah tandingan Harimau Malaya dan perlawanan tersebut tidak lebih dari sekadar pemanas badan sebelum aksi lebih getir menyusul.

Hatrik ketua pasukan Khairul Effendi Bahrin, dua gol Awaluddin Mat Nawi serta satu masing-masing oleh Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Azri Rahman, Saiful Nizam Ali, Azwann Ismail dan Abu Haniffa Hassan memastikan kemenangan besar tersebut sekaligus melonjakkan Malaysia selaku pendahulu kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan ke atas tuan rumah, Indonesia yang membenam Myanmar 5-1.

Cabaran sebenar buat skuad bimbingan Chiew Chun Yong adalah pada Selasa apabila mereka turun menentang Indonesia, dengan kemenangan akan memastikan tempat di separuh akhir kepada pasukan yang berjaya meraih tiga mata.

Penjaga gol, Syafiq Hamzah menjangkakan pertembungan antara kedua-dua pasukan akan berlangsung sengit dan dia menaruh keyakinan tinggi Malaysia akan dapat mengekalkan rentak kemenangan.

“Untuk menang ke atas Indonesia di hadapan penyokong mereka sudah tentunya sesuatu yang sukar, mereka adalah pasukan yang cukup mantap dan apabila bertemu Malaysia, semua tahu bahawa semangat mereka memang lain macam.

“Kita sedar bahawa mereka akan bermain dengan kesungguhan 200 peratus. Jadi, kita perlu menyaingi kesungguhan mereka itu dan tidak sesekali membuat kesilapan. Saya tidak nampak alasan kenapa kita tidak boleh menewaskan mereka jika kekal fokus dan memanfaatkan setiap peluang, itu adalah kunci utamanya,” kata penjaga gol yang beraksi untuk Kuantan Rangers dalam Liga Futsal Kebangsaan itu.

Sementara itu rakan sepasukannya di Kuantan Rangers, Yazid Kamaruzuan pula berpendapat dia dan rakan sepasukan perlu tampil dengan mental yang kuat dan tenang di dalam menangani provokasi penyokong Indonesia.

“Perlawanan ini penting bagi kita, dan penting juga kepada mereka. Kedua-dua mencari kemenangan bukan semata-mata kerana mahu meneruskan kemaraan tetapi demi maruah, Jangan sesekali membenarkan faktor luar terutamanya provokasi penyokong menjejaskan rentak permainan kita. Kita perlu bersedia dengan baik untuk hadapi semua itu,” kata Yazid.

Selepas menentang Indonesia, aksi seterusnya buat Malaysia adalah berdepan Myanmar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Rabu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya di Kejuaraan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan bermula 2001 hanyalah muncul naib juara sebanyak empat kali termasuk pada tahun lalu yang berlangsung di Vietnam, setelah kecundang 3-4 dalam masa tambahan kepada Thailand. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -