52 ahli gabungan yang menuntut perubahan dan rombakan di dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dengan mengadakan Kongres Luar Biasa pada bulan lalu, nampaknya masih belum mengalah dalam usaha mereka itu.

Khamis lalu Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata kemelut antara kumpulan digelar Geng 52 dan FAS itu sudah ternoktah kerana EGM itu tidak disahkan oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman menerusi surat bertarikh 17 Disember 2018.

Tetapi bekas Exco FAS, Datuk Ariffin Abdul Hamid berkata kenyataan Johan adalah tidak tepat dan tidak berasas, justeru meminta Johan memahami dengan betul isi kandungan surat daripada Pesuruhjaya Sukan itu.

“Saya rasa Dr Johan salah baca surat, atau salah faham. Pesuruhjaya Sukan tidak cakap pun EGM itu tidak sah, tetapi mereka menyatakan ada keraguan dalam proses memanggil EGM dan tidak dapat mengesahkan laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB).

“Geng 52 dinasihatkan merujuk kepada Jawatankuasa atau Badan Pengelola mengikut prosedur dalaman yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan, dan menghormati nasihat itu, kami akan membawa isu ini untuk diselesaikan di peringkat lebih tinggi.

“Dr Johan harus faham maksud surat tersebut dan beliau harus betulkan kenyataan yang dibuat sebelum ini. Beliau menyampaikan kenyataan yang tidak betul.

“EGM tidak sah dan Pesuruhjaya Sukan tidak dapat mengesahkan laporan MYKB adalah dua benda berbeza. Kami akan menjawab surat PJS kerana dua alasan yang diberi mereka tidak ada kena mengena dengan pengesahan EGM FAS tempoh hari,” kata Datuk Ariffin.

Sebagai rekod Geng 52 telah mengadakan EGM pada 8 November lalu di Seri Kembangan kerana berpendapat ada ketirisan dalam pentadbiran FAS selain terdapat ahli gabungan yang dinafikan hak mereka, justeru mahu merombak Jawatankuasa Eksekutif untuk menjadikannya lebih baik.

Berakhir EGM, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dikekalkan sebagai Presiden tetapi beberapa lantikan baru dibuat namun keputusan EGM itu langsung tidak diiktiraf Raja Muda Selangor itu yang menganggap ianya tidak lebih daripada perjumpaan biasa dan sekadar syok sendiri.

Kemuncak kepada pertelingkahan antara Geng 52 dan FAS ini, 43 daripada mereka telah dipecat sebagai ahli gabungan pada 14 Disember lalu kerana tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian untuk merevolusikan bolasepak Selangor. MUHD AIMAN 

- Advertisement -