kim-swee-train

Oleh Muhammad Aiman

Skuad bolasepak negara bakal dikerah berlatih di bawah terik mentari apabila jadual latihan mereka diawalkan dari jam 5 petang, ke 3 petang bermula minggu depan.  

Ketua jurulatih, Dato’ Ong Kim Swee berkata ini adalah bagi menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan pasukan negara di Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar bermula 19 November depan.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan berdepan Kemboja (20 Nov) dan Vietnam (23 Nov) pada jam 3 petang, dengan hanya aksi terakhir menentang Myanmar akan berlangsung jam 6 petang.

“Pemain perlu meninggalkan semua aktiviti waktu tengah hari mereka untuk turun berlatih pada ketika panas terik. Kita tidak mahu mengambil mudah perkara ini, pemain perlu  menyesuaikan diri dengan waktu permainan yang tidak berapa lazim ini.

“Cuaca panas boleh memberi kesan besar kepada kualiti permainan dan prestasi pasukan, jadi adalah penting kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan melengkapkan pemain-pemain dengan persiapan terbaik untuk bermain dalam suasana yang agak mencabar ini,” kata Kim Swee yang berada di Port Dickson bersama barisan pemainnya bagi mengikuti Kem Bina Semangat selama tiga hari sehingga Jumaat ini.  

Dan untuk membantu menjadikan persiapan lebih lancar, Kim Swee berkata perlawanan persahabatan terakhir menentang Papua New Guinea pada 14 November depan di Stadium Shah Alam, juga akan berlangsung pada jam 3 petang.

Malaysia dijadual berlepas ke Yangon pada 16 November, dengan Kim Swee akan memuktamadkan senarai 23 pemain terakhir sejurus berakhirnya perlawanan menentang Papua New Guinea.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat kali pertama pada edisi 2010, namun gagal mempertahankan kejuaraan pada 2012 apabila tewas di separuh akhir manakala pada 2014 pula pasukan negara yang ketika itu di bawah kendalian Dollah Salleh hampir sahaja merampas semula trofi sebelum dikecewakan Thailand dalam perlawanan akhir.

- Advertisement -