Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mphd Amin optimis skuad Harimau Malaya mampu meraih tiga mata di Gelora Bung Karno pada Khamis di saingan pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Mengakui tekanan dan perang psikologi bakal dilancarkan khususnya penyokong fanatik Sang Garuda, Hamidin yakin andai pemain pemain yang diturunkan kelak fokus sepenuhnya ketika di padang, tidak mustahil untuk Malaysia pulang dengan kemenangan.

Rekod pertemuan diantara Malaysia dan Indonesia ketika Sukan SEA 2011 dan Piala AFF pada 2011 menjadi azimat Malaysia untuk turun sekali lagi di gelanggang keramat itu kelak.

Malah, Hamidin juga menjelaskan matlamat yang diletakkan kepada skuad kebangsaan adalah untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Justeru, tiga mata daripada perlawanan pembukaan kumpulan G kelak mampu memberikan petanda positif dan langkah yang baik untuk skuad kebangsaan.

Mengulas tentang aspek keselamatan, Datuk Hamidin menjelaskan kerjasama dengan Polis Republik Indonesia (PolRI) telah diwujudkan bagi menjamin keselamatan bukan sahaja pemain dan pegawai, tetapi penyokong Malaysia yang hadir di Stadium Gelora Bung Karno kelak.

300 hingga 500 penyokong Malaysia dijangka bertandang ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya pada Khamis.

- Advertisement -