Impian Pulau Pinang untuk menikmati saingan Liga Super musim depan berkecai selepas dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan hukuman tersebut adalah kerana kegagalan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menjelaskan tuntutan bekas pemain import dari Brazil, Reinaldo Lobo selama tiga musim dari 2015-2017.

Pulau Pinang mengesahkan slot ke Liga Super 2020 selaku pasukan di tempat ketiga selepas menewaskan pencabar terdekat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada aksi terakhir saingan Liga Premier semalam.

Bagaimanapun, pemotongan enam mata tersebut menyaksikan Pulau Pinang terperosok ke kedudukan ketujuh liga dengan 24 mata terkumpul sekali gus PDRM di atas kertas merupakan pasukan pilihan untuk diangkat ke Liga Super.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata FIFA pada 25 Mac lepas telah mengarahkan FAP membayar kepada Reinaldo sejumlah USD90,000 (RM369,882) bersama faedah 5 peratus selain denda tambahan USD10,000 (RM41,098) atas kegagalan membuat bayaran seperti diarahkan NDRC FIFA.

“Pada 17 April 2019, FAP telah membuat pembayaran berjumlah USD92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran tersebut telah dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM.

“29 April 2019, peguam Reinaldo telah menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa telah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak USD92,597.72 namun memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah USD97,041.83 (RM398,822.51) menjadikan jumlah sebanyak USD4,444.11 (RM18,264.40) lagi yang perlu dijelaskan FAP,” katanya.

Stuart bagaimanapun menjelaskan pada 28 Jun lalu, FIFA menghantar surat kepada FAM memaklumkan FAP gagal membuat pembayaran dalam tempoh diberikan.

Justeru, jelasnya, FIFA menuntut bukti pemotongan enam mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai lalu memaksa FAM mengemukakan rayuan pertama dengan fakta tambahan untuk FIFA pertimbangkan hukuman itu.

“Pada 1 Julai 2019, FAP telah membuat baki bayaran kepada Reinaldo, namun wang itu mengambil masa untuk pemprosesan penghantaran ke akaun bank beliau di Brazil.

“Pada 10 Julai 2019, peguam Reinaldo juga memberi pengesahan bahawa bayaran sudah pun diselesaikan sepenuhnya dan memohon supaya kes ini ditutup dan tindakan tatatertib terhadap FAP dibatalkan,” katanya.

Bagaimanapun, Stuart berkata pada 17 Julai lalu, FAM menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum esok (22 Julai).

“Ia kerana walaupun pembayaran sudah diselesaikan sepenuhnya, tetapi FAP melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal. FAM sekali lagi pada 18 Julai 2019 telah pun membuat rayuan ketiga kepada FIFA.

“Tetapi hari ini, hari terakhir untuk membuat potongan mata seperti diarah oleh FIFA. Dengan rayuannya didapati masih tidak diterima FIFA, FAM pada hari ini terpaksa juga memajukan surat arahan daripada FIFA kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengeluarkan surat rasmi pemotongan enam mata kepada Pulau Pinang.

“Meskipun FAM mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, FAM sedikit kesal kerana FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan sedangkan FAP sudah menyelesaikan bayarannya yang disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan,” jelas beliau.
— BERNAMA

- Advertisement -