Indonesia membuktikan kelas mereka selaku kuasa baru olahraga para di rantau Asia Tenggara setelah muncul juara keseluruhan di temasya Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan kutipan 85 pingat merangkumi 40 emas, 28 perak dan 17 gangsa.

Pencapaian itu turut membolehkan mereka mengatasi pencapaian 27 emas, 24 perak dan 16 gangsa di temasya Para ASEAN 2015 di Singapura.

Pada hari kelima dan terakhir saingan olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil, Indonesia meraih tambahan lima emas, lima perak dan dua gangsa.

Emas pertama Indonesia disumbangkan oleh Erens Sabandar menerusi acara 200m T45/46 (kecacatan anggota) dengan kepantasan 23.49s. Pingat perak dimenangi oleh Ahmad Solihim dari Malaysia manakala gangsa menjadi milik Phunh Dinh Tu dari Vietnam.

Turut menyumbang emas, Alan Sastra menerusi acara lontar peluru F57 (berkerusi roda) dengan lontaran sejauh 11.04m sekaligus menebus kecewa sekadar meraih gangsa dua tahun lalu. Ia adalah emasĀ  kedua Alan di temasya ini selepas turut memenangi emas lempar cakera F57 pada Khamis.

Abdul Halim Dalimunte turut dikalungkan emas buat kali kedua di Para KL2017 setelah mengungguli acara 200m T 11 (masalah penglihatan) dengan catatan masa 24.04s.

Nur Ferry Pradana pula mencipta sensasi dengan memenangi emas keempat peribadinya setelah mengungguli acara 200m T47 (kecacatan anggota) dengan kepantasan 22.49s.

Kuartet 4x400m T42-47 (kecacatan anggota) gandingan Erens Sabandar, Mega Amir Sidik, Martin Losu dan Wagiyo menyumbang emas terakhir Indonesia pada Jumaat dengan kepantasan 3:43.15s.

Tatkala Indonesia terlalu unggul untuk disaingi, kontijen olahraga Malaysia pula mengakhiri cabaran di tempat kedua dengan 36 emas 27 perak dan 30 gangsa manakala Thailand di tempat ketiga dengan 26 emas, 33 perak dan 31 gangsa.Ā 

- Advertisement -