Sudah masuk bulan kesembilan, skuad bolasepak senior negara masih lagi mencari kemenangan sulung bagi tahun 2017.

Dari empat perlawanan yang diharungi, Harimau Malaya seri sekali menentang Filipina dalam aksi pertama bagi tahun ini pada Mac lalu, dan selepas itu tewas kesemua tiga perlawanan terakhir termasuklah dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan Myanmar pada bulan lalu.

Selasa ini, buruan kemenangan pertama diteruskan apabila skuad bimbingan Nelo Vingada itu turun menentang Hong Kong dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Kekalahan kepada Lubnan dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Jun lalu menyaksikan skuad negara tidak ada pilihan selain mencatat kemenangan ke atas Hong Kong bagi memastikan peluang terus bernyala dan pemain tengah, Kiko Insa percaya kemarau kemenangan dapat dinoktahkan kali ini.

Bagi Insa yang membuat penampilan antarabangsa sulung ketika tewas 1-2 kepada Syria, keputusan yang dilakar sepanjang aksi persahabatan tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan skuad negara apatah lagi pasukan dalam proses peralihan dan sedang menunjukkan peningkatan.

“Keputusan perlawanan kami tewas, tetapi hakikatnya kami bermain lebih baik dalam kedua-dua perlawanan menentang Syria dan Myanmar. Perlawanan itu tidak disiarkan secara langsung, jika tidak pastinya penyokong akan mengakui kami berhak mendapat keputusan yang lebih baik.

“Saya percaya ceritanya adalah berbeza menentang Hong Kong Selasa ini, kami sentiasa bekerja keras, semuanya semakin baik terutamanya dari aspek persefahaman dan keserasian. Ada beberapa pemain baru termasuk saya sendiri jadi sudah tentunya ia mengambil masa tetapi kini selepas latihan bersama hampir tiga minggu saya percaya kami sudah bersedia.

“Kita akan bermain di tempat sendiri, kita mempunyai pemain yang bagus, latihan juga digandakan dan semua pemain tahu apa kehendak jurulatih. Ini sudah tentunya membantu kami semua menunjukkan prestasi terbaik.

“Perlawanan menentang Hong Kong adalah ibarat final, kami semua mahukan kemenangan dan kami akan dapatkannya walau dengan apa cara sekalipun,” kata pemain Pahang itu yang dipanggil memperkuatkan pasukan kebangsaan setelah mendapat taraf kerakyatan negara ini berikutan neneknya adalah berasal dari Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Malaysia ketika ini berada di kedudukan tercorot dari empat pasukan di Kumpulan B. Lubnan yang sudah beraksi dua perlawanan unggul dengan enam mata manakala Hong Kong dan Korea Utara masing-masing mengutip satu mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -