Jaguh lempar cakera negara, Mohd Irfan Shamsudin terpaksa melupakan Kejohanan Terbuka Malaysia yang juga Kejohanan Pra-Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada minggu depan kerana kecederaan pinggang.

Irfan yang memenangi pingat perak di Kejohanan Trek dan Padang Asia di India minggu lalu berkata hasil imbasan Magnetic Resonance Managing (MRI) yang dilakukannya hari ini di KPJ Damansara mendapati kecederaan otot pinggang di bahagian kiri adalah serius dan memerlukan penjagaan rapi selama tiga minggu.

“Saya akan meneruskan rawatan fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN) bagi memfokuskan kepada pemulihan sebelum boleh menyertai kejohanan kompetitif. Dalam keadaan ini, saya tidak boleh mengambil sebarang risiko dengan beraksi di Terbuka Malaysia nanti kerana bimbang ia akan memudaratkan lagi kecederaan,” kata atlet berusia 22 tahun itu.

Menurut Irfan, kecederaan itu sebenarnya sudah dialaminya sejak hampir dua bulan lalu iaitu ketika dia beraksi di Kejohanan Hallesche Werfertage di Jerman pada 22 Mei, yang mana ketika itu dia meraih gangsa dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan lontaran 61.10m.

Di sebalik kecederaan itu, Irfan kemudiannya terus menyerlahkan prestasi garang apabila memperbaharui rekod kebangsaan dua kali lagi, dengan rekod terbaru adalah 62.55m yang sekaligus melonjakkannya sebagai salah seorang atlet lempar cakera elit Asia.

Irfan berharap dia akan dapat segera kembali ke gelanggang kerana menantinya selepas ini adalah cabaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Dia membawa misi meraih hatrik pingat emas setelah memenanginya dua kali sebelum ini di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

“Saya berkeyakinan besar dengan persiapan serta prestasi semasa, saya boleh pertahankan pingat emas. Walaupun tidak dapat untuk turut sama menguji Stadium Nasional buat pertama kali, saya tidak risau kerana bagi acara lempar cakera keadaan padang tidak penting. Yang penting adalah fokus. Kalau fokus, beraksi di mana-mana pun boleh buat balingan,” ujarnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -