rembau.challenge

Oleh Ku Mohd Lufti

Gagal menempatkan diri di podium pada tahun lalu, dua peserta negara, Muhammad Irwan Yusuf dan Azlinawati Husain mahu memperbaiki kedudukan tersebut di perlumbaan ekstrem, Rembau Challenge 2016 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober depan.

Sasaran dua atlet negara ini yang akan beraksi dalam cara berpasangan campuran adalah tiga teratas berbanding pencapaian pada 2015 di kedudukan ke 6 daripada 50 pasukan yang mengambil bahagian.

Namun, Azlinawati menjangkakan saingan 2016 lebih mencabar susulan penambahan jarak laluan, daripada 90 Kilometer kepada 135 kilometer dan pertandingan akan dijalankan selama dua hari.

“Kami perlu melengkapkan 80km pada satu hari dan selebihnya pada hari kedua, oleh itu, kita perlu berlatih dengan lebih kuat untuk mencapai sasaran tahun ini,” kata Azlinawati.

Manakala rakan seperjuangan Irwan pula mengharapkan latihan intensif yang dilakukan untuk mengharungi aksi yang lebih mencabar pada tahun ini membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

Irwan dan Azlinawati hadir di majlis pelancaran dan penerimaan tajaan Rembau Challenge 2016 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Putrajaya pagi tadi.

Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali, mewakili menteri KBS Khairy Jamaluddin.

Kejohanan ini turut menerima penyertaan daripada peserta luar negara antaranya Sweden, Jepun, Hong Kong, Thailand, Taiwan dan Australia.

740 peserta yang mengambil bahagian akan bersaing menerusi beberapa sukan iaitu, kayak, basikal gunung, berlari, merentasi sungai, Biathlon laluan berhalang dan lain lain ujian dimana perlumbaan akan bermula dan tamat di Dataran Rembau.

Rembau Challenge menawarkan hadiah wang tunai RM 150 000.

- Advertisement -