Pada Ahad lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengarahkan Kuantan FA supaya melunaskan tunggakan gaji 39 pemainnya serta empat jurulatih dan seorang fisioterapi berjumlah lebih RM1.6 juta dalam masa 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan, atau pasukan itu akan dikenakan hukuman lebih berat jika tidak mematuhi tempoh ditetapkan.

Malah pasukan itu turut didenda berjumlah keseluruhan RM67,500 dan ianya perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari waktu bekerja, juga dari tarikh penerimaan keputusan.

Namun begitu, bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria yang merupakan penuntut tertinggi tunggakan gaji dan pampasan iaitu jumlah keseluruhan sebanyak RM300,000, dia tetap belum boleh tersenyum dengan keputusan yang diumumkan itu.

Menurutnya, “Baguslah FAM sudah buat keputusan tetapi saya tidak rasa mereka akan bayar. Selama ini pelbagai aduan, amaran diberikan mereka tidak pernah ambil pusing, sudah banyak kali mereka mengalami masalah ini, lebih setahun mereka buat senyap, takkan sekarang mereka nak bayar dalam masa 60 hari?

“Apa lagi hukuman lebih berat boleh dikenakan ke atas mereka, mereka sudahpun disingkirkan dari Liga Malaysia. Jadi saya merasakan tiada sebab untuk mereka menuruti arahan yang diberikan FAM apatah lagi mereka sendiri tiada duit, macam mana nak bayar,” ujar Ismail.

Justeru Ismail yang kini merupakan jurulatih Uitm FC berpendapat langkah paling terbaik difikirkan sesuai adalah menggesa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk bertanggungjawab memandangkan Kuantan FA merupakan ahli gabungan mereka.

“FAM kena minta PBNP bantu selesaikan kemelut ini, ahli gabungan mereka buat hal dan tiada gunanya untuk menunggu dan terus menunggu. Saya bersama-sama barisan kejurulatihan dan bekas pemain yang menjadi mangsa menuntut FAM mengambil tindakan lebih berani dan serius. Bila nak selesai kalau asyik bagi tempoh masa dan amaran,” kata Ismail lagi.

Seperti yang semua sedia maklum, Kuantan FA dibatalkan penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia musim ini pada April lalu berikutan kemelut kewangan kritikal di mana anggota pasukan itu dilaporkan tidak menerima gaji lebih empat bulan sejak Disember 2017.

Malah lebih teruk mereka juga dilaporkan tidak menyelesaikan tunggakan gaji lebih 11 bulan sejak dari November 2016 walaupun telah diarahkan berbuat demikian justeru mengapa mereka boleh dibenarkan mengambil bahagian dalam Liga Malaysia 2018 menimbulkan keraguan ramai.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -