Jagoan Borneo, Sabah atau Sarawak? Bolehkah aksi antara kedua-dua pasukan pada Sabtu ini, menjadi antara derby terbaik pernah disaksikan? Penyokong Sabah atau Sarawak, yang mana lagi fanatik?

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di pentas kompetitif adalah 2013. Kedua-dua pasukan begitu lama tidak beraksi dalam satu saingan liga yang sama. Menariknya, Sabah tidak menang ke atas Sarawak dalam tiga pertemuan terakhir dan kali terakhir mereka menang adalah pada enam tahun lalu, pada Januari 2012.

Sabah membawa bersama rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan pertama – menang besar 4-0 ke atas Terengganu FC II dalam aksi pertama, kemudian seri menentang Felcra dan menang 2-0 ke atas PDRM.

Tujuh jaringan dan satu bolos, manakala pemain import dan tempatan sama-sama menyumbang dan mengimbangi skuad justeru skuad Sabah kali ini disebut sebagai skuad terbaik pernah dikumpulkan sejak beberapa musim kebelakangan.

Lebih penting, semua pekembangan positif ini sudah tentunya menjadikan motivasi dan keyakinan bertambah tinggi di kem sang badak.

Berbeza di kem Sarawak, kekalahan menerusi tiga jaringan dalam lima minit terakhir kepada Felcra FC bukan saja menyaksikan mereka tumbang buat pertama kali musim ini, tetapi moral pasukan juga luntur berikutan dakwaan terdapat pemainnya terlibat kegiatan atur perlawanan.

Dua pemain telah ditahan untuk siasatan, dan kemudiannya telah pun dibebaskan. Tetapi apa yang telah berlaku tidak dapat diubah. Jadi cabaran paling besar adalah bagaimana mereka bangkit mengetepikan perspektif, menangani krisis keyakinan meruncing dan kembali ke landasan kemenangan.

Dari sudut positif, mereka boleh menarik nafas lega kerana isu-isu ini berjaya dikesan lebih awal dan bukannya ketika pertengahan musim apabila ia mungkin sudah merebak sebagai satu virus. Sama ada mereka terus terkesan dengan isu ini, atau sebaliknya, di sinilah karakter Ngap Sayot akan teruji.

Adakah sang bujang senang akan kembali melibas, atau sang badak akan berjaya menghapuskan badi sekian lama? Siapa bakal bergelar pakar taktikal, anak tempatan – Jelius Ating atau pengendali dari Australia Ian Gillan akan membuktikan dia lagi bagus? – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -