Semua persatuan bola sepak negeri diminta tidak mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sendiri bagi mengelakkan percanggahan SOP yang akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara sedemikian adalah salah daripada segi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya minta persatuan-persatuan bola sepak negeri jangan keluarkan kebenaran-kebenaran sendiri sebab setiap keputusan untuk liga bola sepak termasuk latihan dan sebagainya akan ditentukan oleh MKN di peringkat pusat,“ katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) petang tadi.

Baru-baru ini, sebuah portal berita sukan melaporkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan memulakan sesi latihan mengikut SOP PKPB bermula 9 Jun.

Difahamkan, seramai 35 hingga 40 pemain dan pegawai daripada saingan Liga Super akan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum skuad ‘Gergasi Merah’ itu kembali ke padang untuk menjalani latihan luar norma kebiasaan selepas berehat hampir tiga bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

— BERNAMA

- Advertisement -