Pencabar terdekat, Pahang terlepas peluang untuk mengurangkan kelebihan sembilan mata milik Johor Darul Takzim di tangga teratas setelah kecundang 0-2 kepada pendahulu Liga Super itu di Stadium Darul Makmur, pada Selasa.

Gonzalo Cabrera membuka jaringan seawal minit kedua setelah menerima umpanan Mohamed Ghaddar sebelum Ignacio Insa Bohigues menjaringkan gol kedua pada minit ke-87 bagi melengkapkan kemenangan kesepuluh dari 11 perlawanan buat Harimau Selatan.

Kemenangan menyaksikan JDT kini mengumpul 36 mata, sembilan mata mengatasi Kedah yang melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan 4-2 ke atas Melaka United manakala Pahang tergelincir ke tangga ketiga dengan 24 mata.

Di Stadium Hang Jebat, Kedah bangkit daripada ketinggalan kepada tuan rumah, Melaka untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Marko Simic dua kali meletakkan skuad bimbingan Eduardo Almeida di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-10 dan 31 namun disamakan oleh kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-15 dan 41 untuk kedudukan 2-2 di separuh masa pertama.

Giliran Kedah pula mendahului pada minit ke-56 menerusi Akram Mahinan dan kedudukan itu bertahan sehingga minit akhir sebelum Asri Mardzuki menambah satu lagi jaringan pada masa kecederaan.

Dalam aksi lain, Selangor dan Felda United kembali sebagai pencabar kedudukan tiga teratas setelah turut melakar kemenangan penting di tempat lawan. 

Selangor bimbingan P.Maniam mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Ipoh, menerusi jaringan tunggal Francis Forkey Doe pada minit ke-63. Ia membolehkan mereka melonjak ke tangga ke keempat dengan 23 mata.

Manakala Felda bimbingan B.Sathianathan pula cemerlang di Kuching apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sarawak menerusi jaringan hatrik Thiago Augusto pada minit ke-10, 35 dan 55 sekaligus melonjak ke kedudukan kelima juga dengan 23 mata.

Di Kuala Terengganu, T-Team menjaringkan tiga gol dalam tempoh tujuh minit untuk menewaskan pasukan bermasalah, Kelantan dengan jaringan 3-1.

Kelantan yang dilihat menjunam prestasi mereka sejak dibimbing Alfredo Gonzalez – ‘pengarah teknikal’ yang mengambil alih tugas ketua jurulatih, Zahasmi Ismail sejak bulan lalu mendahului pada minit ke-64 menerusi sentuhan Khairul Izuan Rosli.

Hajat besar Kelantan pulang ke Kota Bharu dengan tiga mata bagaimanapun dinafikan T-Team yang bangkit menerusi jaringann Dilshod Sharafetdinov (m-80), Fauzi Abdul Kadar (m-84) dan Joseph Yanick Djeng (m-87).

Keputusan itu membolehkan T-Team melonjak ke kedudukan ketujuh dengan 19 mata manakala Kelantan tergelincir ke kedudukan kelapan dengan 17 mata.

Satu lagi perlawanan menyaksikan PKNS FC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan. PKNS beroleh jaringan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh dan Abdou Jammeh dan melonjak ke tangga kesembilan tatkala Pulau Pinang kekal di kedudukan tercorot. – OLEH MUHMMAD AIMAN

- Advertisement -