Oleh Muhammad Aiman

Wakil Malaysia, Johor Darul Takzim tekad memburu tiga mata apabila turun menentang kelab Myanmar, Magwe FC dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala AFC di Stadium Larkin, Johor Bharu malam ini.

Mengikut format terbaru Piala AFC musim ini, hanya tiga juara kumpulan zon Asean akan mara secara automatik ke separuh akhir dan satu lagi slot akan menjadi milik pasukan tangga kedua terbaik sama ada dari Kumpulan F, G mahupun H.

Justeru, JDT sedar hanya kemenangan akan memastikan mereka dapat meneruskan kemaraan dan pengendalinya Benjamin Mora berjanji akan membariskan skuad terbaik meskipun dijangka kehilangan khidmat beberapa pemain utama kerana tidak cergas sepenuhnya dan juga menjalani penggantungan.

“Kita masih melihat kepada pilihan yang ada, saya boleh katakana situasi Gonzalo Cabrera masih dalam keadaan samar, Fadhli Shas belum pulih dari kecederaan manakala Safawi (Rashid) menjalani penggantungan perlawanan. Tapi kita ada banyak pilihan, kita akan tengok kesesuaian posisi dan sebagainya sebelum membuat keputusan.

“Kita perlu menang perlawanan ini, tapi kita tahu Magwe pasukan yang kuat. Mereka berpotensi membuat kejutan, malah ketika pusingan pertama mereka mengikat kita seri 1-1. Kita ada mengkaji cara permainan mereka, kita tahu taktikal mereka dan mereka juga berbahaya ketika serangan balas. Jadi saya nasihatkan pemain supaya tidak hilang fokus dan laksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan yang merupakan juara Piala AFC 2015 ketika ini berada di tangga kedua peringkat kumpulan dengan mengumpul sepuluh mata dari lima perlawanan, dua mata di belakang Global FC dari Filipina.

Global hampir pasti akan mara selaku juara kumpulan di mana mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan kelab Kemboja, Beoungket Angkor FC yang setakat ini hanya mengumpul empat mata.

Kemenangan buat JDT akan menyaksikan mereka layak selaku pasukan tangga kedua terbaik mengatasi empat pasukan dari satu lagi kumpulan, iaitu Kumpulan G – Ceres, Hanoi, Tampines mahupun satu lagi wakil Malaysia, Felda United yang sudah tentunya tidak mampu untuk mengatasi jumlah mata dikumpul JDT.

- Advertisement -