SAINGAN merebut emas semakin memuncak dengan kontinjen Johor terus melebarkan jurang dengan meraih 60 pingat emas, sekaligus menghampiri impian menjulang kejuaraan temasya SUKMA XX MSN 2022 buat kali pertama. 

Namun, dengan baki 141 pingat emas yang masih menjadi rebutan untuk baki tiga hari pertandingan, pesaing terdekat seperti Wilayah Persekutuan dan Terengganu serta kontinjen dalam kelompok 10 teratas pasti mahu memastikan kedudukan terkini dan tidak mahu tercicir. 

Wilayah, yang mengekori Johor di tangga kedua di belakang Johor dengan 33 emas, menghidupkan peluang dengan pencapaian cemerlang meraih emas terbanyak dengan 11 pingat emas hari ini.

Wilayah menguasai Muaythai dengan empat emas selain renang dan angkat berat yang masing-masing meyumbang dua emas. Tenpin boling, terjun dan pencak silat masing-masing menyumbang satu emas untuk memastikan Wilayah terus bertahan dalam kelompok tiga teratas. 

Begitu pun, Johor memastikan terus kukuh sebagai pendahulu keseluruhan selepas 10 hari pertandingan dengan tuaian 9 emas lagi hari ini, majoriti daripada perlumbaan bot tradisi (3 emas), selain pencak silat (2 emas), muaythai, berbasikal, renang dan memanah yang masing-masing menghasilkan satu emas. 

Saingan merebut kedudukan kedua keseluruhan juga nyata sengit dengan Terengganu mengikat Wilayah Persekutuan dengan 33 emas. Begitu pun, Wilayah mendapat kelebihan menduduki tangga ke-2 dengan kutipan pingat perak dan gangsa yang lebih berbanding Terengganu. 

Perak pula memperbaiki kedudukan di tangga ketujuh selepas kejayaan meraih 4 emas muaythai dan dua dalam judo. 

Sarawak turut meraih dua emas Muaythai selain satu emas masing-masing dalam memanah.

Dalam pada itu, Terengganu turut lega meraikan kejayaan skuad bolasepak negeri yang berjaya mara ke akhir selepas menumpaskan Selangor 2-1 untuk bertemu Pulau Pinang pada final Jumaat ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. 

Pulau Pinang mara ke final selepas menundukkan Wilayah Persekutuan 1-0 pada separuh akhir. 

Esok (22 Sept), 48 pingat emas lagi menjadi rebutan, antaranya membabitkan Judo (5), golf (4), terjun (1), renang (8), angkat berat (4), ragbi (2), menembak (3), kanu (3), tenpin boling (2), bola tampar pantai (2),  Bola tampar dewan (1), memanah (5) berbasikal trek (4), sepaktakraw lelaki (1) dan sepaktakraw wanita (1).   

- Advertisement -