foto – Malaysian Football League

 

Beberapa jurulatih Liga Malaysia menganggap kebenaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada semua pasukan memulakan latihan pada 15 Jun ini sebagai satu berita yang tidak disangka namun cukup menggembirakan.

Antaranya jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang sama sekali teruja mendapat perkhabaran itu kerana mengikut jangkaannya, semua pasukan hanya boleh memulakan latihan pada pertengahan Julai.

Berdasarkan perkembangan ini, beliau menjangkakan pemainnya akan lebih cergas serta bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia yang berdasarkan perancangan pada September ini kerana mempunyai tempoh latihan antara sembilan ke sepuluh minggu.

“Memang satu berita yang amat dinantikan dan bertambah menggembirakan, kita boleh bermula pada 15 Jun ini iaitu satu tempoh yang lebih awal.

“Setelah tiga bulan berehat tanpa sebarang aksi bola sepak, tempoh diberikan ini cukup ideal dalam membina kembali tahap kecergasan pemain.

“Cuma dalam pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP), saya harap semua pemain dan pegawai mampu ikuti apa sahaja garis panduan ditetapkan kerana kita mahu semua pihak berasa selamat daripada ancaman wabak COVID-19.

“Malah bagi sesi latihan yang akan bermula nanti, pasti ini satu norma baharu kerana perlu elakkan sebarang kontak sesama pemain dan saya akan cuba memastikan perkara ini boleh diikuti semua dalam pasukan Perak,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bahawa latihan bola sepak, sama ada secara profesional atau sosial telah dibenarkan untuk dijalankan semula mulai 15 Jun 2020.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak membabitkan sebarang bentuk pertandingan tetapi hanya untuk memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat.

Sementara itu, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, juga menyambut pengumuman MKN itu sebagai sesuatu yang positif selain sudah bersedia mendengar apa sahaja SOP yang ditetapkan.

Walaupun beliau berasakan empat minggu sudah mencukupi buat pemain-pemainnya mendapatkan kembali kecergasan dalam hadapi perlawanan kompetitif tetapi melalui kebenaran ini, beliau boleh tersenyum lebar kerana banyak perkara boleh dilakukan sebelum liga bermula September depan.

” Sememangnya situasi ini memang di luar jangka kerana pemain seolah-olah menghadapi persiapan pra musim sebanyak dua kali dalam tempoh satu musim.

” Namun, melalui berita disampaikan semalam, saya rasa lega dan kini kami sedia mendengar apa sahaja SOP yang perlu dipatuhi.

” Mungkin suasana dalam latihan nanti akan sedikit berbeza kerana ada banyak SOP perlu dipatuhi tetapi kita akan cuba atasi rasa kekok itu bagi memastikan latihan dapat dijalankan,” katanya.

- Advertisement -