Kurang 24 jam selepas tersingkir dari saingan Piala FA berikutan kekalahan 1-4 kepada PKNS FC, Persatuan Bolasepak Kelantan  (KAFA) mengumumkan pelantikan Fajr Ibrahim sebagai Pengarah Teknikal pasukan itu berkuatkuasa hari ini.

Menurut presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, Fajr dilihat sebagai individu paling sesuai untuk membantu menstrukturkan semula pelan jangka panjang The Red Warriors dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Dalam masa sama, Bibi memberi bayangan bekas pengendali skuad kebangsaan Syria itu berkemungkinan besar akan turut memainkan peranan sebagai ketua jurulatih menggantikan pengendali sementara, Yusri Che Lah.

“Skop tugas Fajr tertumpu pada semua pasukan di bawah seliaan Kafa iaitu Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Super tetapi keutamaannya sudah tentu memperkasakan semula skuad senior dengan mendapatkan segala pandangan dari Yusri berhubung prestasi semasa pasukan ini

“Kita tak letak KPI sebab jawatan pengarah teknikal ini tak ada sasaran. Sekarang, kita mahu dia nilai semula prestasi pasukan secara keseluruhan kerana sebelum ini sudah beberapa kali kita keluarkan surat amaran kepada pemain,” katanya sambil mengesahkan bekas pengemudi kelab Al-Mina’a SC dalam Liga Iraq itu sudah menandatangani kontrak sehingga akhir musim ini bersama KAFA, hari ini.

Tambahnya, “Fajr akan tiba di Kota Bharu esok (Isnin), rasanya tak ada masalah untuk dia memulakan tugas dengan segera tambahan pula sudah sebulan dia memantau perkembangan pasukan senior selain skuad Belia dan Presiden Kelantan.”

Nampaknya, di kala keadaan kewangan tenat, kantung tidak mengizinkan sehingga pemain tempatan terpaksa ditamatkan kontrak, nafsu Kelantan masih lagi kepada jurulatih dari luar negara sedangkan masalah utama pasukan itu adalah atitud dan mentaliti pemain yang tiada keinginan untuk menang dan tidak sedikitpun menepati status sebagai pemain skuad Liga Super.

Apapun, semoga ‘pelaburan’ ini membantu Kelantan kekal di Liga Super musim 2019. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

- Advertisement -