bwf.logo.8Oleh Muhammad Aiman

Bekas jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek jelas tidak langsung tertarik dengan idea pelaksanaan format 11 mata yang mahu diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu berkata di bawah kiraan mata lebih singkat, ianya akan lebih menguntungkan pemain-pemain yang semakin meningkat usia selain tidak memberi peluang kepada mana-mana pemain mendominasi sukan itu untuk satu tempoh lama.

“Format baru ini akan menjadi tidak terlalu mencabar. Pemain yang semakin berusia seperti Lin Dan atau Dato’ Lee Chong Wei sendiri boleh kekal bermain sehingga ke Olimpik Tokyo kalau ianya dilaksanakan.

“Malah bekas juara All England, Hafiz (Hashim) pun mungkin boleh kembali menyerlah. Siapa tahu, di bawah 11 mata ini, entah-entah mungkin saya sendiri pun boleh kembali turun gelanggang,” ujarnya berseloroh.

Format kiraan 11 mata telah dilaksanakan selama dua musim dalam kejohanan Purple League dan baru-baru ini turut dicuba ketika Kejohanan Remaja Antarabangsa B-19 Celcom-Axiata di Terengganu dengan Malaysia meraih satu kejuaraan menerusi gandingan beregu lelaki, Chen Tang Jie-Man Wei Chong.

Rashid turut meluahkan rasa bimbang seandainya kiraan 11 mata dipraktikkan, aksi membabitkan beregu tidak lagi menarik serta tiada keseronokan dalam permainan memandangkan ia berlangsung dalam tempo pantas dan pemain mungkin belum sempat merasai kehangatan perlawanan. 

“Perlawanan mungkin sudah berakhir sebelum debaran atau keseronokan bermula. Penonton baru duduk mahu saksikan perlawanan, tengok-tengok dah habis. Saya tidak pasti adakah ia akan diterima dengan baik oleh pemain-pemain. Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku dalam beberapa bulan akan datang.

“Mungkin kita akan mendapat gambaran lebih jelas apabila ia dipraktikkan di kejohanan-kejohanan besar. Tetapi bagi saya, adalah lebih baik kita kekal dengan sistem 21 mata ini, kita telah pun menggunakan sistem ini sejak 10 tahun lepas dan ianya diterima dengan baik.

“Perlawanan juga menarik di bawah format ini, dan membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk mereka,” ujar Rashid yang merupakan ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Air Asia.       

- Advertisement -