Kasma Daniel Kasmayuddin semakin menunjukkan keserasian bersama jentera YZF-R6 apabila muncul pelumba keempat terpantas dalam sesi kelayakan SuperSports 600cc padaa Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, hari ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu mencatat masa terbaik 1’56.736s, hanya 0.145s di belakang pelumba terpantas, Yuki Ito (Yamaha Racing Team Asean) yang mencatatkan 1’56.591s.

Pelumba gantian, Joseph Francis (WeBike Ikazuchi Racing) bakal bermula dari petak kedua setelah mencatat masa kedua terpantas, 1’56.690s diikuti Taiga Hada (Idemitsu Honda Racing India by T.Pro Ten10) ketiga, 1’56.710s.

Catatan Kasma juga menyaksikan dia muncul pelumba terpantas negara mengatasi rakan sepasukan, Mohd Ramdan Rosli yang akan memulakan perlumbaan dari petak ke-10 dengan masa 1’57.459s, manakala juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) kelihatan bergelut untuk mendapat rentak terbaik apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-11 dengan catatan masa 1’57.509s.

“Berbanding sewaktu pusingan pertama di Thailand, saya semakin memahami karakter jentera saya terutama dari segi suspensi dan penggunaan tayar yang banyak membantu saya di sini,” jelas Kasma.

“Bentuk litar ‘fasttrack’ juga memberi sedikit kelebihan kerana saya sukakan litar seperti ini. Saya berharap dapat mencatat keputusan terbaik dalam perlumbaan akhir nanti.”

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, trio Astra Honda Racing Team, Rheza Danica Ahrens, Mario Suryo Aji dan Awhin Sanjaya menguasai barisan hadapan dengan Rheza bakal bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terbaik 2’08.039s diikuti Mario di petak kedua dengan masa 2’08.561s dan Awhin di petak ketiga dengan masa 2:08.773s.

Pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) terus mempamerkan aksi konsisten apabila bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan Superpole dengan masa 2’18.857s diikuti pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) kedua, 2:19.281s dan Md Haziq Md FAIRUES (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) ketiga, 2:19.643s.

Perlumbaan 1 akan berlangsung pada hari Sabtu (21 April 2018) manakala Perlumbaan 2 akan berlangsung pada Ahad (22 April 2018).

KEPUTUSAN PUSINGAN KELAYAKAN
SS600
1 Yuki ITO (JPN) Yamaha Racing Team Asean 1:56.591s
2 Joseph FRANCIS (GBR) Webike Ikazuchi Racing 1:56.690s
3 Taiga HADA (JPN) Idemitsu Honda Racing India by T.Pro TenlO 1:56.710s
4 Kasma Daniel KASMAYUDIN (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia 1:56.736s
5 Tomoyoshi KOYAMA (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 1:57.063s

AP250
1 Rheza Danica AHRENS (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.039s
2 Mario Suryo AJI (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.561s
3 Awhin SANJAYA (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.773s
4 Rafid Topan SUCIPTO (INA) Yamaha Yamalube KYTTJM WR Super Battery 2:09.004s
5 Anupab SARMOON (THA) Yamaha Thailand Racing Team 2:09.041s

SUPERPOLE
Underbone 150cc
1 Md Helmi AZMAN (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:18.857s
2 Wahyu Aji TRILAKSANA (INA) Yamaha Racing Indonesia 2:19.281s
3 Md Haziq Md FAIRUES (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.643s
4 McKinley Kyle PAZ (PHI) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.892s
5 Md Izzat ZAIDI (MAS) / RCB Yamaha YY Pang Racing 2:20.337s

 

- Advertisement -