2016_Sukma_Games_LogoOleh Ku Mohd Lufti

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan beberapa masalah di Pusat Skuasy Sarawak akan dapat diatasi sebelum Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 dari 17 hingga 31 Julai ini.

Timbalan Ketua Setiausaha KBS (Pengurusan), Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata beberapa ‘kecacatan’ dikesan hasil pemeriksaan yang dilakukan di pusat berkenaan semalam.

Tanpa memperincikan masalah tersebut, beliau berkata kontraktor yang membina pusat skuasy tersebut telah berjanji masalah tersebut akan segera diatasi.

“Beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum pusat skuasy ini diserahkan secara sdpenuhnya untuk penganjuran SUKMA.

“Kecacatan telah dikenal pasti, perlu dibuat pembetulan dan kita harap kontraktor dapat segera menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Nik Abdul Kadir berkata KBS juga akan memastikan pusat skuasy tersebut mendapat pengiktirafan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) untuk digunakan sebagai gelanggang pada SUKMA nanti.

Pusat Skuasy Sarawak memiliki lapan gelanggang termasuk dua yang boleh diubah menjadi gelanggang berkembar pertama seumpamanya di negara ini, menelan belanja RM7.4 juta dan siap dibina 27 Jun lalu.

Terletak berhampiran Stadium Negeri di Petra Jaya di sini pusat tersebut mampu memuatkan 200 penonton pada satu-satu masa.

- Advertisement -