sea_games_2017Oleh Ku Mohd Lufti

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telah menetapkan Kejohanan Lumba Basikal Kebangsaan 2016 pada 17 di Alor Setar pada 17 dan 18 Sept ini sebagai platform pemilihan pelumba ke Sukan SEA 2017.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata semua negeri ahli gabungan akan menerima jemputan dan perlu menghantar enam pelumba sahaja.

Tidak terkecuali, pasukan berstatus benua, Terengganu Cycling (TSG) yang turut dipanggil bagi sesi pemilihan tersebut.

Jelas Datuk Abu Samah, perancangan untuk mengadakan kejohanan khas itu telah dibincangkan dan diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) pada 23 Jun lepas.

“Antara ketetapan yang diluluskan dalam mesyuarat tersebut adalah semua negeri hanya boleh hantar enam pelumba sahaja untuk elit lelaki. Namun, tiada had bagi elit wanita. Pasukan negeri dibenarkan untuk menyenaraikan pelumba berusia 18 tahun kerana mereka akan berumur 19 tahun pada 2017.

“Mesyuarat juga memutuskan pelumba tidak akan disenaraikan dalam skuad lebuh raya Malaysia ke Sukan SEA 2017 sekira gagal sertai kejohanan khas tersebut. Keputusan ini adalah muktamad,” katanya.

Sebelum ini, PKBM telah mengumumkan akan mengeluarkan senarai pelumba ke Sukan SEA 2017 pada September ini.

Datuk Abu Samah menjelaskan Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Kejurulatihan PKBM akan memainkan peranan besar dalam memilih pelumba yang bakal mempertahankan dua emas dimenangi di Singapura.

“Bagaimanapun mekanisma yang ditetapkan, kami akan memilih pelumba yang berjaya menduduki tempat pertama sehingga ke-12. Seterusnya senarai ini akan dikecilkan kepada lapan pelumba.

“Hanya enam pelumba yang akan dihantar ke Sukan SEA 2017 manakala dua lagi akan berada dalam senarai menunggu. Sekiranya berlaku kecederaan, barulah pelumba yang berada dalam senarai menunggu akan dimasukkan ke dalam skuad akhir,” katanya.

“Saya juga berharap Loh Sea Keong akan sertai kejohanan tersebut. Perlu ditegaskan kita tidak akan layan permintaan pelumba yang gagal sertai perlumbaan di Alor Setar nanti,” katanya.

Acara lebuh raya Sukan SEA akan menawarkan sekurang-kurangnya enam pingat emas menerusi acara kriterium, acara lepas beramai-ramai dan ujian masa individu (ITT) masing-masing untuk kategori lelaki serta wanita.

- Advertisement -