Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sependapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk menunda temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

IOC menerusi Presidennya, Thomas Bach sepakat selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 untuk menunda temasya Olimpik 2020 yang sepatutnya dijadual bermula pada penghujung Julai.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) susulan pandemik Covid-19 yang dianggap semakin serius ketika ini.

“Saya mengalu alukan keputusan IOC dan Jepun selaku penganjur untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun 2021 mengambilkira situasi semasa COVID19 dan atas kepentingan yang paling utama iaitu untuk menjaga keselamatan dan kesihatan atlet, pegawai dan semua yang terlibat.

“Dalam pada itu, KBS dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut ke atas atlet-atlet dalam masa yang terdekat ini,”kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan media hari ini.

- Advertisement -