Kementerian Belia dan Sukan, memutuskan untuk menunda temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 susulan pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi kenyataan media telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, disertai semua ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada 14 Exco / Menteri Belia & Sukan Negeri (termasuk Johor selaku tuan rumah), Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

“Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dengan sebulat suara telah bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia telah membuat keputusan tersebut mengambilkira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam temasya tersebut,”kata Datuk Seri Reezal

Tambahnya lagi, tarikh baru penganjuran SUKMA diletak samada Disember tahun ini atau dianjak ke tahun 2021, bergantung kepada perkembangan Covid-19, tiada pertindihan dengan waktu peperiksaan awam serta kejohanan kejohanan utama serta mengambil kira pandangan semua pemegang taruh SUKMA 2020.

 “Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia juga bersetuju agar tarikh baru akan diputuskan secepat yang mungkin pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang akan datang, selewat-lewatnya pada awal bulan Mei 2020,”katanya lagi

Justeru, Datuk Seri Reezal mengarahkan Ketua Pengarah MSN dengan kerjasama Sekretariat Sukan Malaysia Johor untuk membuat penelitian yang komprehensif dengan mengambil kira maklum balas daripada semua pemegang taruh.

Ia merangkumi aspek-aspek kelayakan dan persiapan atlet, implikasi ke atas aktiviti promosi, pemasaran, program-program pra-SUKMA, penajaan, branding, liputan media, persiapan logistik, kemudahan pertandingan sukan spesifik dan lainlain aspek yang berkaitan untuk dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia akan datang.

Situasi yang sama turut diputuskan bagi sukan Para SUKMA 2020 yang turut ditunda dimana Datuk Seri Reezal meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para SUKMA Johor 2020 untuk mengambil tindakan serupa untuk menangguhkan temasya tersebut yang dijadualkan selepas SUKMA Johor 2020.

- Advertisement -