Tiga lagi pasukan didahului juara bertahan Kedah mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia pada Selasa setelah cemerlang menundukkan lawan masing-masing.

Kedah bimbingan Nidzam Adha Yusoff mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan C dengan baki satu perlawanan dalam tangan setelah menewaskan pasukan Liga Premier, Uitm FC 1-0 di Stadium Darulaman.

Gol tunggal Kedah dijaringkan Liridon Krasniqi pada minit ke-24 membolehkan Kedah mencatat kemenangan keempat dan mengungguli kumpulan dengan 12 mata.

Satu lagi slot suku akhir dari Kumpulan C akan ditentukan oleh Kelantan dan Melaka.

Turut mara ke kelompok lapan terakhir adalah Johor Darul Takzim yang beraksi garang membelasah Terengganu 5-0 di Stadium Larkin menerusi jaringan Safawi Rasid (m-19), Fadhli Shas (m-38), S.Kunalan(m-45), Hazwan Bakri (m-49) dan Darren Lok (m-80).

Kemenangan membolehkan JDT melonjak ke tangga teratas Kumpulan D dengan 10 mata, mengatasi Selangor yang sudahpun mengesahkan kemaraan lebih awal menerusi beza jaringan.

Felda United pula mengesahkan tempat mereka dari Kumpulan B setelah bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC.

Bobby Gonzales meletakkan PKNS di hadapan pada minit ke-31 sebelum Ifedayo Olusegun mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-46. PKNS kembali mendahului menerusi sentuhan Nazrin Shamsul Bahari pada minit ke-61 namun The Fighters menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit menerusi Ifedayo (m-74) dan Shukor Adan (m-75) untuk meraih tiga mata.

Dalam satu lagi aksi, Perak yang sudahpun mara lebih awal menundukkan Kuala Lumpur 2-0 menerusi jaringan Gilmar Silva dan Kenny Palraj. Perak bimbingan Mehmet Durakovic mendahului Kumpulan B dengan 13 mata, manakala Felda di tempat kedua dengan 11 mata.

Dalam aksi Kumpulan A, peluang masih terbuka buat tiga pasukan – Pahang, Negeri Sembilan dan T-Team untuk mengiringi PKNP yang sudahpun mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.

Pahang menyalakan peluang mereka apabila mengejutkan PKNP dengan kemenangan besar 6-0 di Stadium Darulmakmur. Wan Zaharulnizam Zakaria dan Joseph Kalang Tie masing-masing menjaringkan dua gol manakala Afif Amirudin dan Matheus Alves meledak satu jaringan.

T-Team turut menghidupkan peluang setelah membelasah Negeri Sembilan 4-1 di Kuala Terengganu.

Pahang mengumpul enam mata berada di tangga kedua, T-Team dan Negeri Sembilan masing-masing mengumpul lima mata sekaligus menjadikan ianya persaingan tiga penjuru untuk memburu slot terakhir ke suku akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -