syakilla-salni-jefry-krishnan

Oleh Muhammad Aiman

Ratu karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama berada di ranking nombor satu Persekutuan Karate Dunia (WKF) bagi Siri Liga Premier Karate1, kategori kumite wanita bawah 55kg.

Dalam senarai ranking terbaru dikeluarkan WKF, Syakilla menamatkan musim 2016 dengan mengumpul 2,115 mata atas kejayaannya menaiki podium dalam empat daripada lapan kejohanan yang disertai sepanjang musim ini.

Antara pencapaian membantu melonjakkan ranking atlet berusia 25 tahun itu adalah menduduki tempat kelima di Piala Dunia di Slovakia pada bulan Mac, manakala pada April dia menewaskan juara bertahan Sara Cardin dari Itali dalam aksi final untuk menjuarai Liga Premier di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Syakilla kemudiannya muncul naib juara di Austria juga pada April sebelum meraih gangsa di Turki pada awal September. Dia hampir meraih gelaran keduanya bagi musim ini apabila layak ke final di Jerman dua minggu lalu namun tewas kepada Emilie Thouy dari Perancis.

Selain Syakilla, seorang lagi atlet negara Shree Sharmini Segaran menduduki tempat kelapan dalam ranking Siri Liga Premier bagi kategori bawah 50kg dengan 880 mata, dibantu kejayaannya memenangi gangsa di Austria dan Turki, serta menduduki tempat kelima di Jerman.

Kedua-dua atlet sebelum ini pernah bersaing dalam kategori berat lebih besar iaitu bawah 61kg, justeru pencapaian ini membuktikan Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) telah membuat keputusan tepat apabila menangani dan merubah penyertaan mereka kepada kategori pertandingan yang dirasakan lebih berpotensi membolehkan atlet-atlet ini menyerlah.  

Syakilla dan Sharmini adalah antara sandaran MAKAF di Sukan Olimpik apabila karate dipertandingkan pertama kali di Tokyo 2020, justeru sudah tentunya ia satu petanda positif untuk bukan sahaja menjayakan perancangan jangka panjang MAKAF tetapi juga satu suntikan buat arena sukan tanah air.

Bagaimanapun bagi MAKAF, sasaran jangka masa terdekat adalah mahu melihat Syakilla, pemenang emas Sukan Asia Incheon 2014 menepati status selaku atlet pilihan bagi kategorinya di Kejohanan Karate Dunia yang akan berlangsung di Austria dari 25 – 30 Oktober depan.    

“Kami berbangga untuk melihat Syakilla muncul nombor satu dunia bagi kategorinya. Dia juga adalah atlet pertama dari Asia Tenggara untuk melakukannya. Melihat kepada prestasi semasanya, dia akan menjadi pilihan di Kejohanan Dunia.

“Dua tahun lalu di Jerman, Syakilla meraih pingat perak. Dia telah jauh bertambah baik dan lebih matang sejak kekalahan itu. Kita tidak pernah ada juara dunia, jadi kami harap Syakilla boleh melakukannya kali ini,” kata setiausaha MAKAF, Vincent Chen. 

- Advertisement -