Kejohanan Ragbi Asia 2015

Asia Rugby Championship 2015 – ARC 2015

Kejohanan Ragbi Asia 2015(Asia Rugby Championship 2015 – ARC 2015) yang akan bermula pada hujung minggu ini sudah pasti amat dinantikan oleh para peminat ragbi tanah air untuk melihat Dinesvaran Krishnan kembali menyarung jersi kebangsaan. Dinesvaran Krishnan atau dikenali sebagai ‘Dugro’ dikalangan peminat ragbi tempatan yang pulang ke tanah air dari negara matahari terbit di mana beliau telah mengasah pengalaman dengan pasukan Yamaha Jubilo sejak dua tahun lepas. 
 
Kejohanan Ragbi Asia 2015 (ARC 2015) adalah acara ragbi peringkat antarabangsa oleh kesatuan ragbi dari setiap negara-negara Asia. Kejohanan ini telah bermula sejak dari tahun 1969 di mana Malaysia sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan kejohanan ini bagi perlawanan Divisyen 2 yang akan disertai oleh pasukan dari negara Chinese Taipei, Kesatuan Arab Emirates(UAE), Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah. 
 
Walaupun segala harapan dan kekuatan diletakkan kepada pasukan kebangsaan ini namun laluan pasukan ini pasti menerima cabaran sengit setelah dua pasukan bekas divisyen satu iaitu Kesatuan Arab Emirates(UAE) dan Chinese Taipei(Taiwan) turut diundi di dalam kumpulan sama. Pasukan Kesatuan Arab Emirates(UAE) yang sudah pasti dibarisi hampir keseluruhan pemain warga asing dari United Kingdom selaku pemain neutralisasi pasti memberi cabaran yang padu kepada pasukan kebangsaan. 
 
Namun cabaran dari pasukan lain di dalam kumpulan yang sama juga perlu diberi perhatian serius khususnya musuh tradisi skuad ragbi kebangsaan iaitu pasukan Thailand yang sentiasa memberi halangan sukar dalam setiap kejohanan ragbi sejak sekian lama. 
 
Manakala jurulatih ragbi Malaysia, Lee Nyuk Fah juga turut mengakui skuad kebangsaan bakal berdepan laluan berliku untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. 
 
“Saya berpuas hati dengan komitmen dan persiapan yang telah dilakukan oleh pasukan ini. Walaupun bertemu dengan pasukan yang berada di tangga kedudukan yang lebih tinggi dari kita, saya selaku jurulatih sudah pasti akan sentiasa positif & optimis untuk memberi tentang bagi kejuaraan ini” ulas jurulatih pasukan ragbi Malaysia, Lee Nyuk Fah. 
 
Untuk kejohanan kali ini sememang setiap keputusan akan memberi impak yang besar kepada tangga kedudukan semasa berbanding kejohanan musim lalu di Qatar yang tidak memberi sebarang makna bagi setiap kutipan mata untuk mengubah kedudukan kerana menentang pasukan Iran dan Qatar yang bukan diiktiraf sebagai ahli gabungan World Rugby (ketika itu dikenali sebagai International Rugby Board atau IRB). Bagi ARC 2015 musim kali ini menggunakan sistem format liga di mana setiap pasukan akan berentap dengan semua pasukan lawan berbanding format kalah mati ketika Kejohanan Asian 5 Nations sebelum ini. 
 
Sekiranya dapat menewaskan pasukan Chinese Taipei(Taiwan) pada Ahad ini pasti membawa mata yang lebih besar berbanding mengutip mata dari pasukan Kesatuan Arab Emirates(UAE) kerana perbezaan tangga kedudukan yang lebih tinggi berbanding Chinese Taipei(Taiwan). Kini semua pasukan yang bertanding adalah ahli gabungan World Rugby, setiap kemenangan dan kekalahan adalah perjuangan hidup mati pasukan ragbi tanah air untuk menentukan tangga kedudukan semasa. 
 
Kejohanan yang berprestij ini akan berlansung di Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MPPJ) bakal menyaksikan perlawanan pertama pasukan negara menentang pasukan Chinese Taipei(Taiwan) pada jam 0500 petang. Para penonton dijemput hadir untuk memberikan sokongan padu di mana masuk ke stadium adalah percuma. 
 
 
Jadual Kejohanan Ragbi Asia 2015
 
10 Mei 2015(Ahad):
0300 Petang – Kesatuan Arab Emirates(UAE) vs Thailand
0500 Petang – MALAYSIA vs Chinese Taipei(Taiwan)
 
13 Mei 2015(Rabu) 0500 Petang:
0300 Petang – Chinese Taipei(Taiwan) vs Thailand
0500 Petang – MALAYSIA vs Kesatuan Arab Emirates(UAE)
 
16 Mei 2015(Sabtu) 0500 Petang:
0300 Petang – Kesatuan Arab Emirates(UAE) vs Chinese Taipei(Taiwan)
0500 Petang – MALAYSIA vs Thailand
- Advertisement -