Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persekutuan Badminton Sepanyol (FESBA) mengesahkan Kejuaraan Dunia yang biasanya diadakan pada Ogos 2021 ditunda ke penghujung tahun.

Tarikh baru yang dipersetujui adalah dari 29 November hingga 5 Disember 2021 dan akan diadakan di Huelva, Sepanyol.

Perubahan tarikh ini diputuskan BWF dan FESBA selepas mengadakan perbincangan dengan penganjur susulan perubahan tarikh temasya Sukan Olimpik Tokyo yang akan dilangsungkan bermula 23 Julai hingga 8 Ogos manakala sukan Paralimpik yang akan memulakan saingan dari 24 Ogos hingga 5 September.

Malah, ia sekaligus memastikan bukan sahaja memberi keselesaan kepada pemain tetapi juga memastikan kelancaran melibatkan pegawai pasukan dan peminat badminton.

Presiden BWF, Paul Erik Hoyer menjangkakan Kejuaraan Dunia akan dinanti nantikan peminat tempatan khususnya yang mahu melihat kelibat Carolina Marin melangkah ke podium selaku juara.

“BWF dan Persekutuan Badminton Sepanyol yakin perubahan tarikh kejohanan akan berjaya. Perubahan tarikh ini akan memberi ruang kepada acara badminton di Olimpik dan Kejuaraan Dunia berlangsung dengan adil untuk semua pihak,”kata Hoyer.

Presiden FESBA juga mengharapkan Kejuaraan Dunia yang berlangsung di Stadium Carolina Marin Huelva kelak akan menjadi acara yang istimewa di Sepanyol dan seluruh dunia dan akan memastikan penganjuran kejohanan itu dilakukan dengan sebaiknya.

Huelva merupakan tempat kelahiran buat juara dunia tiga kali, Carolina Marin.
 

 

- Advertisement -