golf

Oleh Muhammad Aiman

Seorang pelajar berusia 17 tahun yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mencatat kejutan besar apabila menjuarai Kejohanan Golf BDB Masters 2016 dengan menewaskan 99 pemain golf lain. 

Muhammad Firdaus Kassim yang berasal dari Kajang, membawa pulang trofi, tiket penerbangan pergi balik ke Singapura dan baucer berjumlah RM2,500 di atas kemenangannya ini. 
Firdaus yang mula bermain golf sejak usia 11 tahun dan pernah bermain di pelbagai kejohanan termasuk mewakili Selangor di Sukan Malaysia (SUKMA) berkata ini adalah kejayaan terbesar buatnya sejak terlibat dengan golf. 
“Saya tidak pernah menang apa-apa kejohanan selama ini, saya berharap ini akan jadi permulaan untuk saya menapak lebih jauh dan bergelar pemain golf profesional satu hari nanti,” katanya. 
Tempat kedua dimenangi Nordin Yahya yang membawa pulang trofi dan baucer RM2,000 manakala Amir Benno muncul pemenang tempat ketiga kejohanan selama tiga hari itu yang berlangsung di Darul Aman Golf & Country Club. 
Penganjur, Bina Darulaman Berhad turut menawarkan sebuah banglo bernilai RM800,000 sebagai hadiah kepada pemain pertama yang melakukan  ‘hole in one’ tetapi tiada yang berjaya. 
Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusof berkata kejohanan ini menerima sambutan menggalakkan dengan jumlah keseluruhan 100 pemain amatur mengambil bahagian. 
- Advertisement -