Siapa cakap pemain import adalah segalanya? Biarpun turun dengan hanya seorang sahaja pemain import, barisan pemain muda tempatan Kelantan berada dalam kelas tersendiri apabila tampil bertenaga menundukkan Kuala Lumpur 4-2 di Kota Bharu.

Kelantan turun tanpa kelibat Mohamed Ghaddar dan Do Dong Hyun yang direhatkan, mempertaruhkan hanya Cassio De Francisco di dalam kesebelasan utama.

Namun, The Red Warriors tetap dilihat terlalu kuat buat skuad warga kota di mana jaringan Nik Azli Nik Alias pada minit ke-10, Shafiq Shaharuddin (m-16, 68) serta rembatan cantik Nik Akif Syakiran Nik Mat (m-89) memastikan kemenangan pertama mereka selepas lima perlawanan.

KL membalas menerusi Indra Putra (m-80) dan Zhafri Yahya pada masa kecederaan.

Ia juga kemenangan pertama buat Fajr Ibrahim. Kelantan bagaimanapun kekal di tangga kesebelas dengan lapan mata.

Di Paroi, penyokong Negeri Sembilan terkesima lagi setelah pasukan kesayangan mereka diperbudakkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim.

Harimau Selatan menghadiahkan skuad bimbingan Azraai Khor Abdullah kekalahan keenam musim ini setelah melakar kemenangan besar 4-0 menerusi jaringan penalti Gonzalo Cabrera (m-5), Lavere Corbin Ong (m-37) dan dua gol Safawi Rasid (m-62, 73).

Kemenangan kelapan buat JDT menyaksikan mereka mengukuhkan cengkaman di tangga teratas dengan 24 mata manakala Negeri Sembilan kekal menghuni tangga tercorot dengan lima mata.

Sementara itu, Pahang gagal meneruskan tekanan ke atas JDT apabila membenarkan Kedah bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mencatat keputusan seri 2-2 di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Skuad Dollah Salleh mendahului menerusi Chan Vathanaka pada minit ke-10 sebelum Sandro mengikat kedudukan 1-1 lapan minit kemudian.

Safwan Baharudin kembali meletakkan Pahang mendahului pada minit ke-40 namun Sandro menyelamatkan satu mata buat Pahang menerusi gol penyamaan pada minit ke-50.

Pahang kekal di kedudukan kedua dengan 18 mata, enam mata di belakang JDT.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Shah Alam, PKNS FC kembali menemui rentak kemenangan setelah menewaskan Melaka United 2-0 menerusi jaringan Rafael Ramazotti dan Safee Sali sekaligus melonjak ke tangga keempat dengan 14 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -