ltdl.2015.logo

KETIADAAN Andrea Guardini ketika pecutan terakhir di Tanah Merah menyukarkan perbandingan kemampuan pakar pecut Orica GreenEdge, Caleb Ewan – siapa sebenarnya lebih handal.

Namun, pada Peringkat 6 dari Maran ke Karak hari ini, pelumba 20 tahun itu membuktikan dia setanding dengan pakar pecut pasukan Astana itu apabila selesa memenangi kayuhan landai dan pendek sejauh 96.6km itu.

Malah, pelumba berdarah kacukan Australia-Korea itu terus unggul dengan jersi kuning pendahulu dan jersi biru Raja Pecut yang masih dipegangnya, menjelang peringkat penentuan dar Shah Alam ke Bukit Fraser sejauh 180km, esok.

Kelebihan Ewan ialah dia mempunyai beberapa pembantu yang mampu menarik laju dan mencari ruang selesa untuk memulakan henjutan terakhir sedangkan Guardini yang sekadar menduduki tempat kelima, untuk menamatkan kayuhan dengan masa 2 jam 14 minit 19 saat.

Ewan mengatasi saingan Jacub Mareczko (Southeast) dan Christopher Sutton (Team Sky) di garisan penamat, ketika Guardini terperangkap di sebelah kanan dan lewat memulakan pecutannya.

Selain jersi kuning dengan catatan terkumpul 21 jam 32 minit 36 saat dan biru dengan keseluruhan 75 mata yang kekal dimiliki Ewan, pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen masih kekal menyarung jersi merah Raja Bukit selepas tiada zon pendakian disediakan dalam laluan itu manakala pelumba Champion Systems, Zhang Wen Long turut mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

“Menjelang akhir kayuhan, kami mempunyai ramai pelumba untuk menguasai ruang di depan sedangkan Guardini hanya mempunyai seorang pembantu untuk mencari ruang di depan,” kata naib juara dunia Bawah-23 tahun itu.

Ewan yang tampil buat pertama kali dalam LTdL dengan sasaran disandarkan kepadanya untuk memberi satu kemenangan peringkat, berkata dia tidak berasa tertekan menjelang peringkat pendakian ke Bukit Fraser esok, dan mahu mencuba sebaik mungkin pada peringkat khusus buat pakar pendaki itu.

“Memang manis sekiranya dapat membawa pulang satu jersi sekurang-kurangnya. Tetapi kadang-kala, ada perkara yang tidak dapat dielakkan ketika berkayuh,” katanya merujuk kedudukan selesa 19 mata di depan Guardini, menjelang baki dua peringkat sebelum berakhir di Dataran Merdeka, Ahad ini.

Namun, Ewan akan menurut perancangan strategi pengurusan untuk merealisasikan misinya mengekalkan jersi kuning itu kerana kelebihan 27 saat di depan pencabar terdekat dari MTN-Qhubeka, Natnael Berhane dianggap tipis bagi seorang pelumba pecut sepertinya.

Tanpa sebarang zon pendakian, Kiel Reijnen (UnitedHealthCare) masih 19 mata di depan Berhane dan manakala jersi putih Pelumba Terbaik Asia kekal milik pelumba Giant-Champion Systems, Zhang Wen Long.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Sudah pasti saya perlu berwaspada dan mengawasi pencabar lain kerana ia masih satu peluang buat pakar pendaki untuk menang,” katanya yang mengakui kehebatan pelumba pasukan MTN-Qhubeka dan Colombia dalam laluan mendaki.

Pada peringkat yang bermula jam 3 petang di Maran itu, empat pelumba – Simone Andreetta (Bardiani); Sun Xialong (Giant-Champion Systems); Enver Asanov (Baku Synergy) dan Kwon Soon Yeong (KSPO) meloloskan diri seawal 2km sebaik pelepasan tetapi sentiasa diawasi peloton yang diterajui Astana, sebelum mereka ditelan pada baki 2km.

Peringkat ketujuh LTdL esok akan bermula jam 12 tengahari, membabitkan kayuhan sejauh 180.8km dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam ke Bukit Fraser, membabitkan zon pecutan di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Gombak serta zon pendakian mudah di Bukit Cerakah sebelum pelumba mengharungi pendakian di Genting Sempah, menuruni Janda Baik dan Bukit Tinggi sebelum menuju ke arah Jalan Bentong-Raub menuju ke puncak Bukit Fraser dengan ketinggian 1150 meter dari aras laut.

- Advertisement -