Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menjelaskan bahawa semua dokumen sokongan yang dihantar oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kepada persatuan ini pada 14 Mei 2013 telah pun diserahkan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) termasuklah Borang C-06 yang didakwa PBNP tidak dapat disahkan oleh FAM sama ada sudah diserahkan kepada FIFA.
 
Nyata tindakan PBNP menerusi kenyataan ketua pegawai eksekutifnya, Fahrizal Hassan sejak beberapa hari lalu yang cuba memainkan isu Borang C-06 adalah semata-mata untuk menyalahkan FAM selepas mereka dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh FIFA berhubung kes tunggakan gaji bekas pemainnya, Mohamed Borji.
Bagi menjelaskan lebih terperinci apa sebenarnya yang berlaku, berikut kronologi kes ini:
1. PBNP telah menghantar surat kepada FAM mengenai penamatan kontrak Borji bersama pasukan Pahang dengan melampirkan Borang C-06 (persetujuan penamatan kontrak) bertarikh 1 April 2013.
 
2. Namun pada 25 April 2013, Borji telah menghantar surat kepada FAM tentang aduannya terhadap PBNP dan sehari kemudian, FAM menghantar surat kepada PBNP untuk meminta penjelasan mereka berkaitan tuntutan pemain berkenaan.
 
3. PBNP menjawab surat mengenai tuntutan Borji itu pada 14 Mei 2013 bersama-sama dokumen sokongan disertakan termasuklah Borang C-06 dan FAM kemudian terus memanjangkannya kepada FIFA .
 
4. Pada 31 Oktober 2014, FAM telah memajukan surat keputusan Forum Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA kepada PBNP yang mana PBNP diarahkan untuk membayar tunggakan gaji sebanyak AS$45,000 (yuran tandatangan, gaji Disember 2012 dan baki gaji dari Januari hingga Mac 2013) dan AS$80,000 pampasan melanggar kontrak (gaji dari April 2013 hingga November 2013).
 
Dalam surat berkenaan, PBNP juga telah maklum yang mereka akan dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk kes ini dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA jika gagal menjelaskan bayaran berkenaan.
5. Apabila PBNP masih tidak membuat sebarang bayaran sebanyak AS$125,000 itu, FAM sekali lagi telah menerima surat daripada FIFA dan memajukannya kepada PBNP pada 28 Januari 2015 yang mana surat berkenaan meminta PBNP segera membuat bayaran tersebut kepada pemain berkenaan.
 
Sekali lagi juga, FIFA menyatakan jika PBNP tetap gagal menjelaskan bayaran, mereka akan dikenakan tindakan lanjut dan kes ini dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
6. Akibat kegagalan PBNP mengikut arahan DRC FIFA untuk membuat bayaran berkenaan kepada Borji, FIFA telah menghantar surat terbaharu pada 10 Ogos 2015 mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 23 Julai 2015 untuk mengarahkan PBNP membayar jumlah tunggakan yang diputuskan DRC FIFA iaitu sebanyak AS$125,000 dan tambahan CHF15,000 lagi sebagai denda kerana gagal mematuhi keputusan DRC FIFA itu.
 
Malah PBNP turut diminta membayar sejumlah CHF2,000 untuk kos prosiding kes berkenaan.
 
Jika PBNP tidak membayar kesemuanya dalam tempoh 30 hari, PBNP boleh ditolak enam mata daripada pasukan utama mereka, Pahang yang beraksi di liga domestik (Liga Super Malaysia).
Jika PBNP masih gagal membayarnya selepas ditolak enam mata, PBNP menerusi pasukan utamanya Pahang boleh diturunkan ke divisyen bawah liga domestik (Liga Premier Malaysia).
7. Saya selaku Setiausaha Agung FAM kemudian telah beberapa kali menghubungi PBNP menerusi telefon kepada setiausaha kehormatnya, Fuzzemi Ibrahim bagi mengingatkan kepada mereka untuk mengambil serius perkara ini selepas mengetahui bentuk hukuman yang boleh dijatuhkan FIFA terhadap PBNP jika mereka terus enggan membuat pembayaran terhadap Borji.
8. PBNP kemudian telah meminta FAM memajukan surat kepada FIFA pada 8 September 2015 untuk memohon lanjutan masa bagi membuat pembayaran atas alasan mereka perlu menggunakan wang bagi perbelanjaan baki musim 2015 dan menghadapi musim baharu 2016 dengan kekangan kewangan ekoran keadaan ekonomi meleset ketika ini, selain cuba untuk berunding dengan Borji mengenai terma pembayaran tunggakan tersebut.
 
9. Akhirnya pada 13 November 2015, FIFA telah menghantar surat mengenai keputusan terbaharu mereka terhadap kes ini yang mana PBNP telah dikenakan hukuman ditolak enam mata daripada saingan Liga Super Malaysia 2015 yang menyebabkan mereka jatuh ke tangga ketiga daripada kedudukan selaku naib juara.
Berdasarkan kronologi di atas, jelas PBNP dari awal sudah mengetahui akibat dan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka jika enggan mengikut arahan ditetapkan FIFA itu tetapi hanya selepas ditolak enam mata, baru mereka cuba mengaitkan pula isu Borang C-06.
 
Namun perlu diingat, keputusan DRC FIFA itu dibuat selepas mereka melakukan siasatan menyeluruh terhadap semua dokumen sokongan yang dinyatakan terutama dari segi kesahihannya, melibatkan kedua-dua pihak – PBNP dan pemain (Borji).
 
Kes Borji dan hukuman oleh FIFA ini sudah pun dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Keenam bagi Penggal 2014-2018 di Kuala Lumpur, Selasa lalu yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, KDYTM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
 
KDYTM Tengku Abdullah sendiri dan semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju dengan keputusan tersebut selepas melihat proses perjalanan kes ini.
FAM juga sudah menghantar surat rasmi mengenai hukuman FIFA ini kepada PBNP, petang semalam.
 Diharap kes ini akan menjadi pengajaran kepada PBNP dan persatuan bolasepak negeri yang lain supaya tidak mengambil mudah segala bentuk arahan dikeluarkan oleh FIFA pada masa akan datang.
DATO’ HJ HAMIDIN HJ MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
27 NOVEMBER 2015

 

- Advertisement -