Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250

Penilaian Pasukan-Pasukan Kebangsaan
Berikut tiga keputusan yang dicapai pada mesyuarat Pasukan Petugas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Penilaian Pasukan-Pasukan Kebangsaan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi seperti yang dinyatakan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad selaku pengerusinya.

 

JAWATAN KETUA JURULATIH KEBANGSAAN AKAN DIISI SELEWAT-LEWATNYA PENGHUJUNG DISEMBER 2015
“Berhubung kekosongan jawatan ketua jurulatih kebangsaan selepas peletakan jawatan Dollah Salleh pada 4 September lalu, kita mempunyai tempoh masa antara sebulan hingga tiga bulan iaitu selewat-lewatnya penghujung Disember 2015 untuk menamakan siapa ketua jurulatih baharu.

“Jawatan ini kita akan buka untuk diiklankan dan ia terbuka untuk dimohon oleh jurulatih asing mahupun jurulatih tempatan. Memang dari sudut tertentu, ramai yang mahukan ia di kalangan jurulatih asing tetapi kita terbuka. Siapa yang mencapai kriteria, tiada masalah untuk kita memilihnya.
“Kriteria yang kita tekankan ialah individu tersebut mestilah memiliki keupayaan dan mempunyai tahap profesionalisme yang baik. Kita tak mahu nanti akan dikatakan memilih individu yang asal boleh saja. Kita kena pilih dengan teliti.
“Dalam tempoh sehingga kita menamakan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu itu, Datuk Ong Kim Swee (ketua jurulatih skuad B-23 negara) akan kekal sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan sehingga penghujung Disember 2015.”

 

JAWATAN KETUA JURULATIH SKUAD B-23 NEGARA AKAN DIISI SECEPAT MUNGKIN
“Bagi jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara, disebabkan masa tidak mengizinkan, kita perlu melakukan proses pemilihannya dengan secepat mungkin.
“Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan perlu menubuhkan satu panel pemilihan yang terdiri daripada pegawai-pegawai MSN dan wakil-wakil daripada FAM dalam masa terdekat ini. Untuk jawatan ini, kita akan iklankan juga.
“Biarpun kita ketahui Datuk Ong Kim Swee masih merupakan ketua jurulatih skuad B-23 negara sehingga kontraknya tamat penghujung Disember 2015, beliau akan terus dengan tugasannya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan ketika ini sehingga tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh seminggu ini juga, saya akan berjumpa dengan beliau untuk menjelaskan situasi ini kerana memahami beliau turut memerlukan satu keputusan pasti mengenai statusnya.”

 

KERTAS PUTIH SAMA ADA PROGRAM HARIMAU MUDA DIKEKALKAN ATAU TIDAK
“Berhubung mengenai status sama ada program Harimau Muda akan dikekalkan atau tidak, kita akan buat satu kertas putih (laporan berwibawa tentang sesuatu isu atau masalah dengan tujuan mendidik dan membantu orang membuat keputusan) untuk dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM akan datang bagi dibuat keputusannya.
“Ia membabitkan semua program Harimau Muda sedia ada iaitu bagi skuad B-23, B-21 dan B-19 negara.
“Kertas putih ini akan dihasilkan menerusi perbincangan di kalangan mereka yang terdiri daripada golongan pakar dalam industri bola sepak termasuk media, teknikal (bekas pemain & jurulatih) dan akademik.”

- Advertisement -