field-hockey-2

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia terus gagal untuk menyaingi kehebatan India, kali ini kecundang 2-4 kepada juara Asia itu sekaligus hampir pasti menutup peluang meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Festival Hoki Antarabangsa, Melbourne.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen mempamer aksi meyakinkan apabila memberi tentangan sengit untuk mengikat kedudukan 2-2 pada satu ketika, namun India tampil lebih agresif selepas itu dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit di babak keempat untuk mengesahkan kemenangan.    

Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut Malaysia kepada India bagi tahun ini di pentas kompetitif – sebelum ini tewas 0-1 dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia bulan lalu dan 1-6 di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah pada April.    

India yang tewas kepada Australia pada aksi pertama semalam, mendahului pada minit ke-24 menerusi pukulan kencang Nikkin Thimmaiah yang gagal diselamatkan S.Kumar.

Meskipun kembali mengatur serangan namun Malaysia gagal mendapatkan gol penyamaan dan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Usaha keras Speedy Tigers membuahkan hasil pada minit ke-39 setelah Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti namun kegembiraan itu hanya seketika apabila Rupinder Pal Singh kembali memberikan India pendahuluan seminit selepas itu.

Malaysia bagaimanapun menyamakan kedudukan sekali lagi melalui pukulan sudut penalti, kali ini disempurnakan Shahril Saabah setelah pukulannya melepasi jangkauan Abhinav Pandey.

Gol itu gagal menyuntik semangat untuk mencari tambahan jaringan, sebaliknya kelekaan di barisan pertahanan dimanfaatkan sebaiknya India yang menjaringkan dua gol menerusi Nikkin dan Akashdeep Singh masing-masing pada minit ke-55 dan 56.

“Saya cukup berbangga dengan peningkatan ditunjukkan pemain-pemain ini, mereka bermain dengan cemerlang tetapi mereka kecewa kerana setelah memberikan persembahan bertenaga, mereka melakukan dua kesilapan dalam tempoh seminit. Kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Stephen. 

Tambahnya, “Melepaskan gol seperti itu tidak harus berulang lagi apabila kita menentang Australia dalam perlawanan seterusnya. Kita perlu menutup segala ruang dan meminimakan kesilapan kerana menentang Australia pastinya bukan satu perlawanan yang mudah.”

Dalam satu lagi perlawanan, Australia menewaskan New Zealand 3-1 untuk melangkah ke perlawanan akhir yang akan berlangsung Ahad.

Australia mendahului 3-0 dalam tempoh 15 minit pertama menerusi jaringan Dylan Wotherspoon (m-8), Kieran Govers (m-9) dan Aaron Kleinschmidt (m-15) manakala gol tunggal Black Sticks dijaringkan Kane Russell pada minit ke-41.

Skuad Kookaburas mendahului kedudukan kumpulan dengan enam mata dan akan berdepan Malaysia pada perlawanan berikutnya.

Malaysia membawa misi sukar wajib mengejutkan tuan rumah yang merupakan pasukan nombor satu dunia itu sambil mengharapkan India (3 mata) kecundang New Zealand.

- Advertisement -