subahan.2

Oleh Muhammad Aiman

Kewangan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berada dalam kedudukan mantap, dengan lebihan sebanyak RM1.2 juta dicatat buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata ia adalah satu pencapaian cukup memberangsangkan buat kepimpinan baharu badan induk hoki tanah air itu yang mengambil alih tugas pada 13 Mei 2015 dengan menanggung hutang RM2.7juta, sekaligus memenuhi antara Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) awal diletakkan.

“Saya pernah beritahu KPI utama kita tetapkan adalah langsaikan hutang RM2.7 juta yang ditanggung MHC dalam tempoh setahun dan perbaiki kedudukan kewangan kita. Semua telah bekerja keras untuk menjayakannya.

“Kesinambungan dari kejayaan kita langsaikan hutang, kewangan MHC lebih mantap dan kita juga telah mengurangkan perbelanjaan pengurusan walaupun mendapat lebihan, sebaliknya ia disalurkan kepada pemain dan ahli gabungan.

“Kita memperuntukkan sejumlah RM1.28 juta kepada 16 ahli gabungan untuk menjalankan aktiviti di peringkat negeri dan pembangunan akar umbi. Jika dibandingkan dengan 2014, setiap ahli gabungan mendapat RM9,375 tetapi buat julung kalinya mereka menerima RM80,000 sekarang.

“Pemain juga menerima elaun lebih tinggi, elaun pemain lelaki meningkat kepada 133 peratus manakala pemain wanita sehingga 400 peratus kerana kita mahu mereka mendapat perhatian yang sama,” kata Subahan pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan MHC ke-63 di Wisma OCM pada Sabtu.

Sementara itu, MHC menamakan pertandingan kalah mati TNB Liga Hoki Malaysia 2016 yang akan bermula 23 Ogos depan bersempena nama dua lagenda sukan hoki tanah air, iaitu Trofi Tan Sri P.Alagendra bagi kategori lelaki dan Piala Cabaran Vivian May Soars bagi kategori wanita.   

MHC.logo

Subahan berkata Lembaga Eksekutif MHC sebulat suara bersetuju dengan keputusan itu sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada dua legenda itu yang telah sekian lama berbakti membangunkan hoki negara, baik sebagai pemain, jurulatih mahupun pentadbir.

Untuk rekod, Alagendra merupakan bekas Timbalan Presiden MHC (dulu dikenali Persekutuan Hoki Malaysia) dan pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Melbourne 1956 selain menjadi jurulatih kebangsaan di Sukan Olimpik Tokyo 1964.

Manakala mendiang Vivian yang meninggal dunia pada 2009 akibat komplikasi jantung adalah tonggak skuad negara sekitar tahun 1940-an dan berkhidmat sebagai jurulatih kebangsaan pada 1971.

Sebanyak enam pasukan Liga Premier dan lapan pasukan Divisyen Satu akan berentap memburu kejuaraan Trofi Sri P.Alagendra yang menawarkan hadiah lumayan RM70,000 kepada juara dan RM30,000 kepada naib juara.

Manakala Piala Cabaran Vivian May Soars pula akan berlangsung bermula 17 September, membabitkan empat pasukan teratas dalam kedudukan liga.

- Advertisement -