Keputusan memilih sepak takraw berbanding bolasepak adalah tindakan paling tepat dibuat perejam Negeri Sembilan Antlers, Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui tidak pernah menyesali keputusannya melupakan posisi sebagai penyerang bolasepak untuk menggalas tugas apit kanan secara tetap kira-kira 14 tahun lalu ketika usianya baru 10 tahun.

Khairol Zaman terpaksa memilih salah satu daripada dua sukan tersebut untuk mewakili Negeri Sembilan beraksi pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2004.

Keputusan pemain dari Senawang itu tidak sia-sia kerana sejak daripada itu, dia sudah membuat banyak penampilan bersama skuad kebangsaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuklah memenangi pingat emas ISTAF Super Series 2015 di Melaka.

Selain itu dia pernah membantu skuad negara memenangi pingat emas acara regu Sukan SEA 2015 dan 2017 dan terbaru dinobatkan sebagai Apit Kanan Terbaik Sepak Takraw League (STL) Divisyen Satu 2018 yang melabuhkan tirainya 25 November lalu.

“Saya tidak dapat menggambarkan perasaan seronok kerana ini kali pertama saya diiktiraf sebagai apit kanan terbaik sejak lima musim beraksi dalam saingan STL.

“Mungkin saya tidak akan pergi jauh jika saya bermain bola sepak. Saya bersyukur kerana mengikut nasihat cikgu waktu zaman sekolah rendah dahulu,” katanya.

Khairol Zaman berjaya membantu Negeri Sembilan Antlers muncul juara STL Divisyen Satu 2018 sekaligus buat kali pertama layak ke STL Premier musim depan dan bakal membuat penampilan pada STL Champions Cup bermula 7 Disember ini.

“Saya pulih daripada kecederaan hamstring kaki kiri sebelum STL musim ini bermula. Saya langsung tak jangka dapat anugerah ini kerana masih mencari prestasi terbaik.

“Saya akui ia membakar semangat saya untuk memberikan persembahan bertenaga agar dapat menaikkan nama Negeri Sembilan dalam saingan STL Champions Cup.

“Kami akan cuba memberikan tentangan sengit untuk mencapai sasaran ke separuh akhir. Satu bonus buat kami jika berjaya melangkah ke peringkat akhir,” jelasnya.

STL Champions Cup yang memasuki edisi kedua kali ini bakal menyaksikan Negeri Sembilan Antlers berentap di dalam Kumpulan B bersama-sama ATM Guardians, Perak Bison dan Johor Tigris manakala Kumpulan A terdiri daripada juara bertahan, Penang Black Panthers, KL Thunder, Kelantan Warriors serta Sabah Mountaineers.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -