khairul-helmi-johari

Oleh Muhammad Aiman

Ketika Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali pertama enam tahun lalu, pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari adalah sebahagian daripada sejarah tersebut – dia antara 22 pemain yang mendapat kepercayaan Datuk K.Rajagobal untuk membarisi benteng terakhir negara di kejohanan itu.  

Namun, di sebalik pengalaman manis mengecap kejayaan di pentas antarabangsa, satu kekecewaan kapten Kedah itu adalah dia tidak beraksi walaupun seminit di kejohanan itu tatkala Rajagobal menjadikan Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Razman Roslan sebagai sandaran utama.  

Kali ini, Khairul Helmi yang membentuk gandingan cemerlang bersama Bang Seung Hwan di jantung pertahanan Lang Merah dan membantu Kedah menjulang Piala Malaysia merupakan seorang daripada empat pemain pertahanan tengah pilihan Dato’ Ong Kim Swee bagi membawa cabaran negara di Piala AFF Suzuki 2016, yang bermula Ahad ini.

Meskipun dilabel antara pertahanan terbaik negara ketika ini, belum ada jaminan dia akan berjaya merebut tempat dalam kesebelasan utama namun harapannya cukup besar, tidak lagi mahu sekadar menjadi seorang penonton dan penumpang di dalam pasukan. 

“Siapa yang diturunkan itu keputusan jurulatih, sebagai pemain kita perlu sentiasa bersedia terutamanya dari aspek mental bagi menyahut cabaran kerana peluang menyarung jersi negara adalah sesuatu yang istimewa.

“Saya telah merasai suasana Piala AFF malah menjulang piala ini pada 2010, cuma ketika itu saya tidak dapat peluang beraksi, harap peluang itu akan hadir kali ini. Tempoh enam tahun yang berlalu sudah tentunya menjadikan saya lebih matang menangani tekanan tetpai banyak aspek lain akan dinilai jurulatih. Saya sentiasa bersedia jika khidmat diperlukan,” ujarnya.  

Selain Khairul Helmi, pemain pertahanan tengah lain di dalam pasukan adalah Shahrom Kalam (kapten Selangor), Shahrul Saad (Perak), Fadhli Shas (JDT) dan pemain pertahanan versatile, Ronny Harun (Sarawak).

Kim Swee telah menggunakan beberapa aksi persahabatan sebelum ini untuk menguji gandingan yang berpotensi dijadikan sandaran di Yangon nanti, antaranya Khairul Helmi dan Shahrul ketika menentang Singapura (7 Oktober) serta Shahrom dan Shahrul ketika menentang Afghanistan (11 Oktober).

Gandingan Shahrom dan Shahrul kemudiannya dikekalkan ketika kemenangan ke atas Papua New Guinea pada Isnin lalu sekaligus memberi bayangan awal mereka bakal diberi tanggungjawab getir mengemudi benteng pertahanan.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja pada 20 November, diikuti dua pasukan yang berada di ranking lebih tinggi dari kita iaitu Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).

Sasaran awal diletakkan Kim Swee adalah layak ke separuh akhir dan bagi memastikan hasrat melangkah jauh tercapai, seperkara yang perlu segera digilap Kim Swee adalah sentuhan penyudah.

Perlu diakui barisan serangan skuad kebangsaan adalah yang paling tidak efektif ketika ini apabila hanya menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan terakhir justeru inilah masanya wibawa Kim Swee untuk mendapatkan hasil terbaik dari pengalaman dimiliki Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha akan teruji tatkala gandingan Darren Lok dan Ahmad Hazwan Bakri sekiranya terus digilap, berpotensi menjadi senjata baru skuad kebangsaan. 

- Advertisement -