Penyerang Selangor, Khyril Muhymeen mengakui dia memiliki misi peribadi menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tanpa berselindung, Khyril mendedahkan dia berhajat untuk bertemu dengan bekas pasukannya, Kedah di pentas final Piala Malaysia 2019.

Jelasnya, pertemuan menentang Kedah akan menjadi satu motivasi tambahan buat pemain yang berasal Alor Setar selepas kali terakhir dia menjulang trofi Piala Malaysia pada 2008 bersama Kedah.

Bagaimanapun, Khyril lebih berminat untuk memberikan fokus terlebih dahulu kepada pertemuan menentang JDT selepas pasukan bimbingan B Sathianathan tewas 1-2 pada separuh akhir pertama di Larkin dalam misi memastikan Selangor layak ke pentas final.

“Kalau jumpa Kedah di final, saya rasa lagi tentu semangat kerana akan berdepan pasukan lama, malah kebetulan final 2008 itu, Kedah menentang Selangor.

“Harapan saya benda ini dapat berlaku dan dapat bangkitkan nostalgia apa yang berlaku lebih pada 10 tahun dahulu, kepada Kedah, selamat maju saya ucapkan pada separuh akhir kedua nanti.

“ Kepada rakan-rakan sepasukan, saya harap kita mampu sama-sama buat yang terbaik nanti di Shah Alam serta mengharapkan penyokong Selangor boleh datang beramai-ramai untuk buatkan lagi bersemangat tinggi untuk mara ke final, ” katanya.

Untuk menjadikan impian ini satu kenyataan, Selangor berdepan laluan berliku untuk menyingkirkan juara Liga Super JDT manakala Kedah akan membuat perhitungan dengan Pahang dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan selepas terikat 3-3 di Alor Setar.

Sebagai rekod, Khyril menyarung jersi Kedah selama 10 tahun apabila mula mendapat tempat dalam skuad utama pada usia 18 tahun dan pernah dua kali memenangi trofi Piala Malaysia iaitu pada tahun 2007 dan 2008.

Pada 2008, Kedah muncul juara selepas menewaskan Selangor 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Khyril beraksi dalam kesebelasan utama.

Mengulas mengenai pertemuan dengan JDT, Khyril berazam mahu menjelmakan sekali prestasi cemerlang seperti mana pernah dilakukan di suku akhir kedua ketika membenam cabaran Perak di Shah Alam selepas tewas 0-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Dalam perlawanan itu yang memperlihatkan Selangor menang 3-1, Khyril meledak dua gol bagi membantu skuad kendalian B. Satianathan itu mara menerusi agregat 3-2.

Melihat situasi yang hampir serupa pada kali ini, Khyril optimis aura di Stadium Shah Alam akan menjadi bekalan terbaik kepada skuad Red Giants untuk melangkah keluar selaku pemenang.

“ Apa yang berlaku kepada kami di suku akhir, mengingatkan kami kembali sebaik tewas di Larkin minggu lalu dan saya boleh katakan kami begitu hormati pihak lawan, sama seperti ketika di Ipoh.

“ Di Shah Alam, kami akan lebih agresif, fokus dan mentaliti kami dijangka lebih kuat dalam mendapatkan kemenangan untuk atasi defisit yang dimiliki pihak lawan, “ katanya.

Pada separuh akhir pertama, JDT menang 2-1 melalui jaringan Syafiq Ahmad dan Leandro Velazquez sementara gol tunggal Selangor disumbangkan Ifedayo Olusegun.

- Advertisement -