Piala Sultan Azlan Shah 2016

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat skuad kebangsaan untuk melakar keputusan sensasi pada perlawanan pembuka tirai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 tidak kesampaian apabila New Zealand bangkit dari ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 3-3 dalam perlawanan cukup mendebarkan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Di sebalik turun selaku underdog, barisan pemain Stephen Van Huizen tampil dengan aksi cukup bertenaga diiringi sorakan hampir 8,000 penyokong dan berjaya merebut pendahuluan pada minit ke-15 menerusi jaringan padang Firhan Ashaari.

Namun skuad The Kiwis yang dalam persiapan beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan, bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Nick Wilson pada minit ke-22 sebelum pemain itu sekali lagi mengegar gawang Hafizudin Othman pada minit ke-34 untuk memberikan kelebihan 2-1 kepada New Zealand.

Tidak mengalah, giliran pasukan negara menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan Razie Rahim pada minit ke-44 seterusnya mengejutkan New Zealand menerusi pukulan flik cantik yang disempurnakan Shahril Saabah empat minit kemudian.

Mendahului 3-2 ketika berbaki sembilan minit untuk perlawanan ditamatkan, skuad negara berdepan tekanan hebat apabila memberikan empat pukulan sudut penalti berturut-turut kepada The Kiwis yang seterusnya membawa kepada gol penyamaan yang disempurnakan Simon Child pada minit ke-52.  

Perlawanan seterusnya, Malaysia akan menentang Jepun manakala New Zealand akan berdepan Kanada pada Khamis. 

Sementara itu, juara Sukan Asia, India dipaksa bekerja keras untuk bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum mencatat kemenangan kurang meyakinkan 2-1 ke atas skuad berdeterminasi tinggi Jepun, yang mana sembilan daripada skuad 18 pemain mereka membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa di kejohanan ini.   

India yang mensesiakan deretan peluang menjaringkan gol mengutip mata penuh menerusi jaringan pakar-flik, Harmanpreet Singh pada minit ke-24 dan jaringan ketua pasukan Sardar Singh pada minit ke-32 setelah Jepun terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-17 menerusi Kenji Kitazato.

Dalam satu lagi perlawanan, juara tiga kali Pakistan membuka kempen mereka menerusi kemenangan 3-1 ke atas Kanada hasil dua jaringan Muhamad Arslan Kadir serta satu gol sumbangan Muhamad Arshad. 

Arslan menjaringkan gol padang pada minit ke-27 dan menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian untuk Pakistan mendahului 2-0, sebelum Kanada merapatkan kedudukan hasil jaringan Richard Hildreth namun Arshad memanfaatkan pukulan sudut penalty pada minit ke-52 untuk kemenangan mutlak buat Pakistan.

- Advertisement -